Bernama.com
Am 03 November, 2009 16:33 PM
 
Proses Damai Timur Tengah Kini Di Peringkat Kritikal - Ketua Perunding


KUALA LUMPUR, 3 Nov (Bernama) -- Ketua Perunding Palestin Dr Saeb Erakat melahirkan kebimbangan serius mengenai masa depan proses damai Timur Tengah dan mempersoalkan komitmen Israel bagi rundingan bermakna dan berwibawa dan penubuhan negara Palestin yang berdaulat dan merdeka.

"Kami berada pada tahap yang kritikal. Dengan menolak untuk kembali kepada rundingan berdasarkan prinsip-prinisp Pelan Damai Kuartet, Israel telah meletakkan Amerika dan masyarakat antarabangsa dalam kedudukan yang sukar," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan Kedutaan Palestin di sini.

Bagaimanapun, pendekatannya ialah untuk tidak menggugurkan desakan bagi Israel memenuhi obligasinya, katanya dan menurutnya keputusan seumpama itu akan pasti merisikokan proses damai itu kerana tanpa pembekuan penempatan dan akhirnya perobohan penempatan itu, tidak akan wujud sebuah negara Palestin untuk dirundingi dan tiada lagi penyelesaian bagi dua negara untuk dibincangkan.

Pelan damai itu bagi menyelesaikan konflik Israel-Palestin yang dicadangkan oleh "kuartet" entiti antarabangsa, yang dianggotai Amerika Syarikat, Kesatuan Eropah, Russia dan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu. Mengikut Pelan Damai itu, Israel sepatutnya melaksanakan pembekuan menyeluruh terhadap semua aktiviti penempatan, termasuk di dalam kawasan dan sekitar Baitulmaqdis Timur yang diduduki.

Bagaimanapun, Israel dilaporkan menegaskan beberapa penempatan patut dibenarkan diperluaskan, satu proses yang dikenali "pertumbuhan semulajadi" tetapi telah ditolak oleh Palestin dan Amerika Syarikat.

"Keengganan Israel untuk mematuhi mana-mana obligasi dalam Pelan Damai itu, disebalik janjinya sendiri dan jaminan berulang oleh AS, tidak bermakna yang kami telah mengubah pendirian kami dalam soal obligasi dan undang-undang antarabangsa.

"Pendirian kami tidak berubah, Pembekuan penempatan dengan kadar segera dan menyeluruh kekal menjadi syarat untuk kami mengadakan rundingan, serta penandaaras yang diwujudkan oleh masyarakat antarabangsa bagi penyambungan rundingan yang bermakna dan berwibawa," kata Dr Erakat.

Beliau berkata Palestin tidak dapat menerima pembinaan penempatan atau penjajahan tanah Palestin secara berterusan yang melanggar undang-undang antarabangsa, sama ada di Baitulmaqdis Timur yang telah diduduki atau mana-mana kawasan Palestin yang telah diduduki.

"Kami juga menganggap 'moratorium' sebagai kegagalan pihak Israel untuk melaksanakan pembekuan penempatan secara menyeluruh seperti disyaratkan dalam Pelan Damai 2003. Apa yang amat diperlukan dalam proses damai Timur Tengah pada masa ini ialah kewibawaan dan bukannya lebih banyak "proses"," katanya.

"Satu pengajaran yang boleh didapati dalam tempoh 16 tahun rundingan ini iaitu rundingan itu untuk kepentingan mereka sendiri dan tidak mewujudkan sebarang harapan, tetapi sebaliknya memberikan perlindungan di mana Israel akan memperluaskan penjajahan dan terus mencipta 'fakta' bagi menutup sebarang prospek bagi penyelesaian dua negara," kata Dr Erakat.

Sejak 2003, populasi penduduk di Tebing Barat telah meningkat sebanyak 73,000 atau 17 peratus.

Dr Erakat berkata di bawah pentadbiran Israel, setiap aspek substantif dalam proses damai, setiap faedah substantif yang diperoleh dalam rundingan terdahulu, telah terhakis dan Israel telah memberikan isyarat penolakannya bagi sebarang perbincangan serius mengenai isu status tetap seperti Baitulmaqdis, pengiktirafan sempadan, pelarian dan penempatan 1967.

"Jika Amerika sendiri tidak berjaya mendesak Israel melaksanakan pembekuan penempatan, apakah peluang yang ada pada Palestin untuk mencapai persetujuan dengan Israel mengenai isu status tetap?"

"Hanya rundingan yang berasaskan bidang kuasa antarabangsa yang diiktiraf, dan yang mengikat kedua-dua pihak untuk mematuhi undang-undang antarabangsa dan obligasi masing-masing di bawah perjanjian sedia ada seperti dicadangkan Quartet dalam kenyataan terbarunya yang dikeluarkan pada 24 Sept, bakal mempunyai peluang bagi keamanan yang adil dan berkekalan.

"Mendesak Palestin untuk melakukan penyerahan lanjutan bagi memenuhi kehendak Israel yang enggan berkompromi bukan jawapannya," kata Dr Erakat.

Laporan menyatakan pada 24 Sept, Kuartet memperbaharui gesaan bagi Israel membekukan penempatan di wilayah diduduki. Ia menggesa Israel membekukan semua aktiviti penemapatan termasuk pertumbuhan semulajadi, dan mengelak melakukan tindakan provokasi di Baitulmaqdis Timur.

-- BERNAMA


Copyright © 2009 BERNAMA. All rights reserved.
This material may not be published, broadcast, rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Disclaimer.
Best viewed in Internet Explorer 4.0 & above with 800 x 600 pixels