| Jemaah Haji Tempatan Dan Petugas Kesihatan Diberi Vaksin H1N1 |
|
MEKAH, 3 Nov (BERNAMA) -- Kementerian Kesihatan Arab Saudi mula memberikan vaksin kepada jemaah haji tempatan dan petugas di Mekah dan Madinah sebagai langkah-langkah mencegah penularan selesema babi.
Penolong Timbalan Menteri Kesihatan untuk Perubatan Pencegahan Dr Ziad Al-Memish berkata jumlah dos untuk vaksin selesema babi adalah banyak untuk mula memvaksin kumpulan ini kerana langkah-langkah pencegahan ini hanya berkesan selepas 10 hari diberikan vaksin.
Dalam laporan akhbar harian berbahasa Inggeris Arab Saudi, Arab News, beliau berkata memberikan vaksin bukanlah wajib bagi jemaah haji tempatan tetapi beliau meminta agar mereka mengambil vaksin ini 10 hari sebelum menunaikan ibadah haji.
Seramai 7,000 orang telah dihidapi selesema babi yang menyebabkan 62 kematian di negara itu.
Pada Isnin, Kementerian Kesihatan telah memberikan vaksin itu kepada 74 pusat kesihatan di 18 wilayah yang ada pesakit disyaki menghidapi selesema babi sehingga tengah malam setiap hari.
Beliau berkata mesin pengawasan bergerak telah diedarkan kepada pegawai kesihatan yang bertugas di tanah suci bagi memantau penularan virus itu memandangkan musim haji hanya seminggu lagi.
Sebuah Pejabat Pemerintah Pusat akan diwujudkan bagi memantau penularan virus itu melalui rangkaian berkenaan.
"Kita sedang berusaha dengan giatnya untuk menjadikan musim haji ini bebas daripada selesema babi," kata Al-Memish sambil menambah kerjasama daripada orang ramai diperlukan bagi menjayakan usaha ini.
Petugas sektor awam dan swasta serta mereka yang tinggal di Mekah dan Madinah boleh memperoleh vaksin ini.
Kira-kira dua juta jemaah haji menunaikan ibadah haji pada setiap tahun.
Arab Saudi membenarkan jemaah haji tempatan menunaikan ibadah haji hanya sekali bagi setiap lima tahun untuk mengelakkan kesesakan semasa menunaikan ibadah itu.
-- BERNAMA
|
|
|