| Ahli Parlimen Sabak Bernam Mengaku Tidak Bersalah Lapan Tuduhan Tuntutan Palsu |
|
SHAH ALAM, 3 Nov (Bernama) -- Anggota Parlimen Sabak Bernam Datuk Abdul Rahman Bakri Selasa mengaku tidak bersalah ke atas lapan pertuduhan tuntutan palsu yang dilakukan beliau semasa menyandang jawatan Anggota Dewan Undangan Negeri Sungai Air Tawar tahun lepas.
Abdul Rahman dituduh melakukan kesalahan itu di Pejabat Daerah Sabak Bernam dari 21 Januari 2008 hingga 12 Feb 2008 dan didakwa mengikut Seksyen 11 (c) Akta Pencegahan Rasuah 1997 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 16 Akta yang sama.
Selaku ejen kerajaan Malaysia, Abdul Rahman didakwa dengan niat untuk memperdaya prinsipalnya dengan menggunakan Surat Ahli Dewan Undangan Negeri yang mengandungi butiran palsu bagi tuntutan-tuntutan ke atas program atau aktiviti yang sebenarnya tidak dilaksanakan.
Antara tuntutan yang dibuat menggunakan butiran palsu ialah membeli hadiah dan cenderamata serta penganjuran jamuan Program Motivasi Pelajar Sijil Pelajaran Malaysia, Penilaian Menengah Rendah, Ujian Penilaian Sekolah Rendah di kawasan dewan undangan negeri (DUN) yang diwakili beliau.
Beliau juga didakwa membuat tuntutan menggunakan butiran palsu mengenai Program Mesra Rakyat dan Hari Keluarga KRT di DUN Sungai Air Tawar, Program Forum Perdana Peringkat Mukim Bagan Nakhoda Omar, program mesra rakyat dan Hari Keluarga Guru-guru KEMAS serta Program Mesra Rakyat dan sambutan Maulud Nabi di kawasan beliau.
Dalam pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Syafeera Mohd Said, beliau dituduh membuat tuntutan palsu bernilai RM10,000 bagi setiap lapan pertuduhan itu.
Timbalan Pendakwa Raya dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Abdul Razak Musa memohon kepada mahkamah supaya Abdul Rahman dikenakan jaminan RM30,000 bagi kesemua lapan pertuduhan itu dan meminta mahkamah menetapkan satu tarikh sebutan bagi kes itu.
Datuk Salehuddin Saidin yang mewakili Abdul Rahman berkata jumlah jaminan RM30,000 itu adalah membebankan kerana jumlah jaminan hanyalah bagi mempastikan kehadiran tertuduh semasa perbicaraan dan tertuduh telah pun memberikan kerjasama beliau semasa siasatan.
Oleh itu, beliau memohon RM8,000 dengan satu penjamin bagi kesemua pertuduhan tetapi dibantah oleh Abdul Razak yang berkata jumlah itu adalah rendah jika dibandingkan nilai tuntutan palsu RM80,000 dengan denda lima kali nilai rasuah atau suapan yang boleh dikenakan ke atas Abdul Rahman mengikut Seksyen 16 Akta Pencegahan Rasuah.
Bagaimanapun, Syafeera menetapkan jaminan RM30,000 dengan seorang penjamin ke atas Abdul Rahman.
Beliau juga menetapkan tarikh perbicaraan dari 26 April 2010 hingga 7 Mei tahun hadapan.
Sementara itu di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen 8, Mat Ghani Abdullah, pembantu Abdul Rahman, Rosli Busro, 41, mengaku tidak bersalah bersubahat dengan Abdul Rahman melakukan kelapan-lapan kesalahan itu.
Abdul Razak mencadangkan agar Rosli dibebaskan dengan jaminan RM20,000 bagi kesemua pertuduhan.
Salehuddin yang juga mewakili Rosli bagaimanapun memohon mahkamah mengurangkan jumlah jaminan kepada RM5,000 kerana anak guamnya tidak mampu membayar jumlah yang dicadangkan berikutan perlu menyara ibu yang menghidap sakit tua.
Mat Ghani kemudian membenarkan tertuduh dibebaskan dengan jaminan RM9,000 serta seorang penjamin dan menetapkan 14 Dis ini untuk sebutan semula kes di hadapan Hakim Syafeera setelah membenarkan permohonan pihak pendakwaan agar kes Rosli dibicarakan bersama kes Abdul Rahman.
-- BERNAMA
|
|
|