Bernama.com
Am 03 November, 2009 13:24 PM
 
Musim Haji Tahun Ini Dijangka Lebih Selesa


Daripada Ahmad Kamil Tahir

MEKAH, 3 Nov (Bernama) -- Tabung Haji yakin jemaah haji terutamanya dari Malaysia dijangka dapat menunaikan ibadah itu tahun ini dengan lebih selesa ekoran langkah proaktif kerajaan Arab Saudi memperbaiki kemudahan infrastruktur di kawasan yang menjadi tumpuan jemaah nanti.

Timbalan Ketua Rombongan Haji Datuk Kamaruddin Ali berkata banyak perubahan sedang giat dilakukan terutamanya di kawasan wukuf di Arafah, tempat mengutip batu di Mudzalifah, tempat bermalam di Mina serta tempat melontar di jamrah.

Beliau berkata di Arafah misalnya beberapa penambahbaikan telah dibuat termasuk pembinaan laluan pejalan kaki di sekitar kawasan yang akan didirikan khemah serta laluan khas bagi kenderaan kecemasan.

"Semua itu tidak ada pada musim haji tahun lepas dan dengan adanya laluan pejalan kaki akan memudahkan jemaah haji bergerak dan mengangkut barangan masing-masing," katanya kepada petugas media Tabung Haji selepas meninjau kawasan ibadah haji bersama para pengurus Maktab Tabung Haji di sini.

Katanya Tabung Haji sedang menunggu keputusan rasmi kerajaan Arab Saudi mengenai penempatan jemaah haji Malaysia ketika berada di Arafah nanti.

Bagaimanapun, katanya seperti tahun tahun sebelum ini, jemaah haji Malaysia akan ditempatkan dalam kelompok jemaah dari negara Asia Tenggara yang meliputi jemaah haji dari Indonesia, Thailand, Singapura dan Brunei serta dari China.

Kamaruddin berkata hasil tinjauan juga mendapati kawsan lain yang akan di datangi jemaah ketika menunaikan haji seperti Mudzalifah sedang dilakukan penambahbaikan dan di Mina pula kerja-kerja pembersihan kawasan khemah serta kerja pada peringkat akhir bagi menyiapkan sebuah hospital baru sedang rancak dilaksanakan.

Katanya kerja-kerja menyiapkan pelebaran laluan menghala ke tempat melontar jamrah sedang giat dijalankan dan apabila siap nanti boleh memberikan keselesaan kepada jemah haji dan dapat mengelak kesesakan ketika melontar.

Mengenai tinjauan itu, beliau berkata ia bertujuan memberi gambaran kepada pengurus maktab agar dapat membuat perancangan terutama dari segi logistik bagi menentukan jemaah haji dapat bergerak dari satu kawasan ke kawasan lain dengan tersusun dan teratur.

-- BERNAMA
Copyright © 2009 BERNAMA. All rights reserved.
This material may not be published, broadcast, rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Disclaimer.
Best viewed in Internet Explorer 4.0 & above with 800 x 600 pixels