Bernama.com
Am 03 November, 2009 12:36 PM
 
Mohd Saiful Hadir Di Mahkamah Ikuti Perkembangan Kes Liwatnya


KUALA LUMPUR, 3 Nov (Bernama) -- Buat pertama kali, Mohd Saiful Bukhari Azlan, yang mengadu diliwat oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim, hadir di Mahkamah Tinggi di sini untuk mengikuti perkembangan kes berkenaan.

Mohd Saiful, 24, yang ditemani ayahnya Azlan Mohd Lazim dan peguamnya Zambri Idrus, tiba di mahkamah pada 8.40 pagi.

Bagaimanapun dia tidak dibenarkan masuk ke dalam mahkamah semasa prosiding tetapi ditempatkan dalam bilik saksi.

Mengikut undang-undang, seorang saksi tidak dibenarkan masuk ke mahkamah semasa prosiding sehinggalah dia selesai memberi keterangan.

Selepas prosiding selesai, Mohd Saiful yang merupakan bekas pembantu peribadi Anwar, berkata beliau sudah lama bersedia untuk tampil memberi keterangan pada perbicaraan kes itu yang sudah beberapa kali tertangguh.

Anwar, 62, yang hadir bersama isterinya Datin Seri Dr Wan Aizah Wan Ismail, didakwa meliwat Mohd Saiful di sebuah kondominium di Bukit Damansara di sini pada 26 Jun tahun lepas.

Kes itu ditetapkan untuk sebutan semula pada 23 Nov.

Perbicaraan kes itu pada mulanya ditetapkan pada 1 sehingga 23 Julai lepas tetapi ditangguhkan beberapa kali bagi membolehkan mahkamah mendengar beberapa permohonan yang difailkan oleh Anwar.

-- BERNAMA
Copyright © 2009 BERNAMA. All rights reserved.
This material may not be published, broadcast, rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Disclaimer.
Best viewed in Internet Explorer 4.0 & above with 800 x 600 pixels