| Kerajaan Perlu Mahir Dalam Tangani Kepentingan Awam - Hasmy |
|
KUALA LUMPUR, 3 Nov (Bernama) -- Dalam era globalisasi, kerajaan perlu meningkatkan kemahiran pintar dalam menangani isu kebimbangan dan kepentingan awam seperti kes influenza A (H1N1), kata Tan Sri Hasmy Agam.
Pengerusi Eksekutif Institut Diplomasi dan Hubungan Luar (IDFR) itu berkata program mantap dan kaedah perhubungan awam akan membantu kerajaan, kementerian dan agensi berkenaan dalam menampilkan imej yang baik dan positif.
"Bahagian penting dalam program seperti itu perlu diasaskan sebagai program mendekati rakyat yang akan menjelaskan dasar dan aktiviti kerajaan," katanya.
Hasmy berkata demikian dalam ceramah bertajuk "Kesan Globalisasi Terhadap Perhubungan Awam Kerajaan" pada siri ceramah Institut Perhubungan Awam di sini Selasa.
Duta Tugas-Tugas Khas Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM) itu berkata tambahan pula, pegawai yang mengendalikan perhubungan awam perlu mahir dalam bidang menyebarkan maklumat kepada awam khususnya kepada media.
"Pelantikan jurucakap rasmi, yang berpengalaman dan terlatih dalam perhubungan awam dan berurusan dengan media adalah satu cara berkesan untuk menyahut cabaran," kata profesor adjung di Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia.
Beliau mencadangkan supaya wujud lebih kepercayaan dan kredibiliti jika pengagihan maklumat mengenai isu penting semasa disajikan dalam bentuk objektif.
"Sering kali ini boleh dilakukan oleh pegawai berbanding ahli politik walaupun beberapa ahli politik menunjukkan kemahiran tinggi dalam berurusan dengan media," katanya.
Hasmy berkata mereka yang berkhidmat dengan kerajaan perlu berubah pendekatan dan minda daripada tabiat lama memberi sedikit maklumat yang mungkin kepada awam kepada perkongsian sebanyak mungkin maklumat bagi merangka dasar yang lebih baik.
"Pengurusan maklumat harus meliputi semua dan bukan eksklusif," katanya. -- BERNAMA
|
|
|