Bernama.com
Am 02 November, 2009 22:57 PM
 
Perkhidmatan Bas Mencukupi Untuk Membawa Jemaah Haji


MEKAH, 2 Nov (Bernama) -- Kemudahan pengangkutan darat Arab Saudi mencukupi dan tidak perlu menyewa bas dari negara luar walaupun pada musim haji, kata Arab News, sebuah akhbar harian berbahasa Inggeris Arab Saudi yang memetik Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pengangkutan Kebangsaan, Ali Hassan Naqoor.

"Terdapat 16 buah syarikat pengangkutan yang mempunyai lebih daripada 20,000 bas," kata Naqoor kepada Arab News.

Beliau menjangkakan sektor pengangkutan negara itu akan berkembang antara enam hingga 10 peratus dan dengan pembangunan projek baru seperti landasan keretapi, lapangan terbang dan firma pengangkutan yang baru, sektor pengangkutan negara itu akan menjadi satu sektor terbaik di rantau itu.

Katanya syarikat penerbangan, pengangkutan darat dan marin negara itu telah berkembang pada kadar 20 peratus setiap tahun terutamanya sejak lima tahun kebelakangan ini.

Katanya sektor pengangkutan jemaah haji telah berkembang pada kadar antara 10 hingga 15 peratus setiap tahun.

Naqoor dilaporkan sebagai berkata kemajuan yang ketara di dalam sistem pengangkutan antara bandar melalui udara dan darat memerlukan peraturan-peraturan baru untuk menarik pelabur di dalam sektor itu untuk terlibat dalam projek-projek pengangkutan yang baru.

Katanya antara projek pengangkutan baru di Mekah termasuklah jalan raya kedua Raja Abdul Aziz, monorel dan landasan keretapi Al-Haramain.

Sementara itu, pengarah pejabat pengawal bas-bas jemaah haji, Faisal Abdul Rahman Asrah berkata sejumlah 2,000 bas yang membawa jemaah haji dari pelbagai negara telah memasuki tanah suci melalui pintu pemeriksaan Al-Shimaisi di laluan ekspres Mekah-Jeddah.

Katanya secara purata 500 bas memasuki Mekah setiap hari melalui pintu pemeriksaan itu.

-- BERNAMA


Copyright © 2009 BERNAMA. All rights reserved.
This material may not be published, broadcast, rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Disclaimer.
Best viewed in Internet Explorer 4.0 & above with 800 x 600 pixels