| Bekas KPN Minta Kerajaan Tidak Abaikan Nasib Orang Asli |
|
KUALA LUMPUR, 2 Nov (Bernama) -- Ketika tumpuan begitu hebat diberi terhadap usaha menjayakan konsep 1Malaysia dan mengukuhkan perpaduan nasional, kerajaan juga perlu memberi perhatian terhadap nasib masyarakat Orang Asli.
Demikian permintaan bekas ketua polis negara Tun Mohammed Hanif Omar, yang begitu prihatin terhadap kehidupan masyarakat itu hasil pengalaman beliau semasa mula bertugas sebagai anggota polis di Perak suatu ketika dulu.
"Saya sering memuji (Perdana Menteri) Datuk Seri Najib Tun Razak kerana merupakan segelintir pemimpin yang begitu memberi tumpuan terhadap nasib Orang Asli dan menyediakan bantuan kepada mereka di kawasan Parlimen Pekan yang beliau wakili.
"Kini, beliau sudah menjadi perdana menteri, inilah peluang untuk membantu mereka dengan banyak," katanya.
Hanif, yang memberi idea kepada Yayasan ECM Libra untuk menyediakan bantuan kepada Orang Asli, menyampaikan sumbangan permulaan RM50,000 dalam bentuk cek daripada keseluruhan peruntukan RM180,000 oleh yayasan itu, kepada Sino Pai Nanek Snjik (SPNS) yang bermaksud Kumpulan Satu Hati Kehidupan Baru di ibu pejabat ECM Libra di Wisma Genting di sini Isnin.
Matlamat utama SPNS ialah meningkatkan kadar celik huruf dalam kalangan kanak-kanak Orang Asli.
Yayasan itu berjanji akan menyampaikan RM100,000 lagi sumbangan dalam tempoh dua tahun akan datang bagi membiayai program berkenaan dan RM10,000 setahun selama tiga tahun kepada SPNS bagi menjalankan kegiatannya di lapangan.
Sementara itu, pengasas SPNS Cik Tijah Yok Chopil berkata program yang dilaksanakan pertubuhan itu termasuk memberi pendidikan membaca, menulis dan mengira kepada kanak-kanak, mereka yang tercicir daripada pelajaran dan golongan penganggur daripada kalangan Orang Asli.
Beliau berkata program kendaliannya tidak pernah mendapat bantuan kewangan daripada mana-mana kementerian atau agensi.
Cik Tijah mendakwa seorang pegawai Jabatan Hal Ehwal Orang Asli telah dua kali meminta maklumat tentang operasi SPNS, "tetapi selepas lima tahun, masih tiada sebarang perkembangan".
--BERNAMA
|
|
|