Bernama.com
Am 02 November, 2009 21:18 PM
 
Shahidan Mahu Dr Mohd Asri Tolak Tawaran Terajui YADIM


KANGAR, 2 Nov (Bernama) -- Bekas Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim berharap Dr Mohd Asri Zainul Abidin menolak pelantikannya sebagai Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) sekiranya ditawarkan.

Katanya, bekas mufti Perlis itu telah dikenakan tekanan oleh pelbagai pihak selepas cadangan untuk melantiknya ke jawatan itu oleh kerajaan Malaysia.

Baru-baru ini Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) menghantar memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong yang disifatkan Shahidan sebagai satu serangan peribadi terhadap Mohd Asri.

Ketika menghubungi Bernama dari London pada Isnin, Shahidan berkata tokoh muda agama itu telah dihukum lebih awal dan sewajarnya beliau tidak menerima jawatan yang ditawarkan itu.

Menyentuh penahanan Mohd Asri pada Ahad malam oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dengan alasan beliau mengajar tanpa tauliah, Shahidan yang juga ahli Majlis Tertinggi Umno menyifatkan perbuatan itu amat memalukan.

Banyak lagi isu agama yang lebih penting dan perlu diberi perhatian oleh JAIS, katanya.

Shahidan berkata JAIS tidak pula menahan "orang-orang agama" yang berucap di pentas politik.

Beliau mendakwa JAIS bersikap pilih kasih dalam tindakan mereka dan penahanan Mohd Asri itu adalah kesan daripada pilih kasih itu.

-- BERNAMA


Copyright © 2009 BERNAMA. All rights reserved.
This material may not be published, broadcast, rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Disclaimer.
Best viewed in Internet Explorer 4.0 & above with 800 x 600 pixels