Bernama.com
Am 02 November, 2009 20:53 PM
 
D8 Tumpu Pelbagai Bidang Bagi Tingkatkan Kemajuan


KUALA LUMPUR, Nov 2 (Bernama) -- Anggota Kumpulan Lapan Negara-Negara Islam Membangun (D8) hari ini mengambil ketetapan untuk menjana projek berdaya saing, meningkatkan perdagangan, mewujudkan sebuah piagam serta mengasaskan program pertukaran diplomat muda.

Persetujuan negara anggota terhadap resolusi tersebut dicapai pada akhir sesi ke-12 mesyuarat D8 di sini.

Dalam sidang akhbar bersama, pengerusi mesyuarat itu, Datuk Seri Anifah Aman, yang juga Menteri Luar Malaysia, berkata mesyuarat sehari peringkat menteri itu adalah berhasil dengan tekad untuk mencapai matlamat kumpulan itu.

"Kami bangga dengan kemajuan yang dicapai oleh kumpulan ini khususnya langkah menyegarkan semula usaha yang diambil telah menunjukkan hasil yang positif.

"Kami mengadakan perbincangan secara terperinci dengan niat tunggal untuk membawa manfaat kepada rakyat di negara-negara D8," katanya.

Kumpulan D8 ditubuhkan pada 15 Jun, 1997 di Istanbul, Turki dengan keanggotaannya terdiri daripada Bangladesh, Mesir, Indonesia, Iran, Malaysia, Nigeria, Pakistan dan Turki.

Anifah berkata mereka bersetuju untuk menumpukan usaha ke arah melancarkan projek berdaya saing yang perlu diambil bukan sahaja oleh kerajaan masing-masing tetapi juga sektor swasta.

Katanya mereka juga bersetuju memberi tumpuan kepada kerjasama dalam bidang-bidang keutamaan seperti perdagangan, pertanian dan kewangan Islam.

"Antara perkara yang dibincangkan ialah pelaksanaan Pelan Tindakan dan bentuk program tahunan bagi memastikan D8 berada di landasan yang betul," katanya.

Anifah berkata terdapat juga cadangan menubuhkan Piagam D8 dan visi baru kumpulan dan perkara ini akan dibincangkan semula dalam sebuah mesyuarat di Istanbul, Januari depan.

"Kami berpendapat apa yang dilakukan selama ini tidak cukup dan kita perlu menambah lebih banyak usaha dan oleh itu terlebih dahulu kita perlu ada satu Piagam," katanya.

Katanya mereka juga bersetuju bahawa persetujuan awal tiga perjanjian D8 adalah perlu sebagai instrumen untuk berjaya dan manfaat kerjasama ekonomi di kalangan negara anggota.

Perjanjian tersebut ialah Perjanjian Keutamaan Perdagangan (PTA), Perjanjian Kerjasama Kastam dan Perjanjian Memudahkan Visa Bagi Ahli Perniagaan D8.

Anifah berkata negara anggota juga bersetuju mengadakan program pertukaran diplomat muda di mana setiap negara akan menghantar dua diplomat dengan Mesir menjadi negara pertama menghoskan program tersebut awal tahun depan.

Selain itu, katanya tumpuan juga akan diberikan kepada peningkatan perdagangan negara D8 dari lima peratus jumlah perdagangan global kepada 15 hingga 20 peratus menjelang 2018.

Jumlah perdagangan global di kalangan negara D8 berada pada kadar nilai US$1.2 trilion (RM4.11 trilion) tahun lepas.

Katanya ianya penting bagi memastikan kejayaan pelan damai D8 bagi kerjasama ekonomi antara tahun 2008 hingga 2018.

Pelan itu diluluskan semasa Sidang Kemuncak D8 di sini tahun lepas dengan tujuan meningkatkan kerjasama ekonomi di kalangan negara anggota dan membantu mengerakkan sumber dari sektor awam dan sektor swasta dalam pelaksanan projek-projek D8.

Sementara itu, Setiausaha Agung D8, Dipo Alam berkata Iran telah berikrar menyumbang Euro 15 juta (RM76 juta) untuk pelaburan bersama melaksanakan pelbagai projek.

Katanya senarai keutamaan bidang kerjasama meliputi perdagangan, pertanian dan jaminan makanan, kerjasama perusahaan kecil dan sederhana (PKS), pengangkutan serta tenaga dan galian.

-- BERNAMA


Copyright © 2009 BERNAMA. All rights reserved.
This material may not be published, broadcast, rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Disclaimer.
Best viewed in Internet Explorer 4.0 & above with 800 x 600 pixels