Bernama.com
Am 02 November, 2009 20:41 PM
 
Jangan Mudah Terpedaya Dengan Janji Lelaki Asing - Shahrizat


TAWAU, 2 Nov (Bernama) -- Jangan mudah terpedaya dengan pujukan dan janji-janji manis lelaki asing bagi mengelakkan diri daripada diheret ke dalam gejala tidak sihat, demikian nasihat Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil kepada wanita Malaysia.

Katanya wanita Malaysia perlu berfikir panjang apabila dihampiri lelaki asing yang memberi pelbagai janji dan ganjaran sebagai umpan untuk memerangkap mereka.

"Saya juga berasa bimbang apabila terbaca mengenai peratusan kes-kes jenayah terutama yang melibatkan rakyat asing yang menggunakan wanita Malaysia sebagai mangsa (dalam aktiviti-aktiviti tidak sihat).

"Saya minta wanita Malaysia jangan diperdaya. Jangan mudah dipergunakan terutama ketika mereka diajak untuk pergi ke luar negara," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Jalinan Bestari di sini Isnin.

Shahrizat berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Timbalan Menteri Luar A. Kohilan Pillay yang mendedahkan ramai wanita muda Malaysia termasuk yang memiliki ijazah terpedaya oleh warga asing dan akhirnya terlibat dengan sindiket penghantaran dadah.

Menurut Kohilan pada masa ini terdapat 1,565 rakyat Malaysia termasuk wanita sedang menjalani hukuman penjara di luar negara kerana pelbagai kesalahan dan di sesetengah negara bilangan wanita Malaysia menjalani hukuman melebihi kaum lelaki.

Timbalan Menteri Luar itu memberi contoh di Peru, daripada 15 rakyat Malaysia yang sedang menjalani hukuman penjara di negara itu, 12 daripadanya adalah wanita.

Dalam perkembangan lain, Shahrizat Abdul Jalil mahu program mengesan mana-mana anggota masyarakat yang layak menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dipertingkatkan di Sabah terutama di kawasan pedalaman.

Beliau berkata usaha sedemikian perlu dilakukan kerana mungkin masih ramai rakyat yang sepatutnya diberi bantuan namun tidak menerimanya kerana maklumat mengenai masalah mereka tidak sampai kepada kerajaan.

Shahrizat berkata pemimpin masyarakat juga perlu menyebarkan maklumat yang tepat berkenaan golongan sasar JKM yang layak menerima bantuan bagi memastikan bantuan yang diberikan benar-benar sampai ke golongan sasar.

"Kita bukan negara kebajikan. (Penerima yang layak) ada kategori dan hadnya," katanya.

Shahrizat turut memberi jaminan kepada kira-kira 40,000 orang yang layak menerima bantuan JKM di Sabah menerima bayaran bulanan mereka mulai 1 Januari depan.

-- BERNAMA


Copyright © 2009 BERNAMA. All rights reserved.
This material may not be published, broadcast, rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Disclaimer.
Best viewed in Internet Explorer 4.0 & above with 800 x 600 pixels