Bernama.com
Am 02 November, 2009 20:35 PM
 
Peserta Sanggup Bertahan Sahut Cabaran Menangi Kereta


SINGAPURA, 2 Nov (Bernama) - Selepas lebih 48 jam mengharungi cabaran di bawah panas terik, kesejukan malam dan hujan tanpa rehat dan tidur yang mencukupi, kini hanya tinggal kurang 100 peserta daripada 400 orang yang menyahut cabaran untuk memenangi sebuah kereta, masih bertahan sehingga lewat petang Isnin.

Peserta terdiri daripada lelaki dan wanita dengan 320 daripadanya adalah warga Singapura manakala yang lain peserta dari Hong Kong, Malaysia, Filipina, Thailand, China, Taiwan dan Indonesia mengambil bahagian dalam cabaran tahunan MediaCorp Subaru Impreza WRX yang diadakan di Ngee Ann City Square di Orchard Road sejak petang Sabtu lalu.

Dalam pertandingan itu, para peserta perlu meletakkan tangan mereka pada kereta itu selama mana yang termampu oleh mereka dan hanya diberikan masa lima minit untuk berehat setiap selepas enam jam hanya untuk makan, minum, berurut atau ke tandas berhampiran.

Peserta yang melepaskan tangan mereka daripada kereta itu akan dibatalkan penyertaan dan sehinggalah tinggal seorang peserta yang terakhir yang masih bertahan akan diisytiharkan sebagai pemenang.

Pemenang cabaran itu akan membawa pulang hadiah utama iaitu sebuah kereta Subaru Impreza WRX Sedan 2.5 manual berharga $81,000.

Tahun lepas, cabaran itu dimenangi George Lee, warga Singapura yang membawa pulang hadiah utama itu selepas mengakhiri cabaran dengan catatan masa 81 jam 32 minit.

-- BERNAMA


Copyright © 2009 BERNAMA. All rights reserved.
This material may not be published, broadcast, rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Disclaimer.
Best viewed in Internet Explorer 4.0 & above with 800 x 600 pixels