Bernama.com
Am 02 November, 2009 20:13 PM
 
Menteri Pertahanan Asean Akan Putuskan Soal Perluas Keanggotaan


Oleh D.Arul Rajoo





BANGKOK, 2 Nov (Bernama) -- Menteri-menteri Pertahanan Asean akan bermesyuarat di sini Selasa untuk memutuskan sama ada akan memperluaskan hubungan dengan negara-negara di luar rantau ini, termasuk Amerika Syarikat dan Russia ketika mereka menangani pelbagai cabaran keselamatan transnasional yang kompleks.

Pegawai-pegawai berkata sebarang keputusan menarik penyertaan rakan-rakan dialog di bawah Mesyuarat Menteri Pertahanan Asean (ADMM) Campur akan memerlukan konsensus di kalangan 10-negara anggota Asean.

Menurut mereka, Asean telahpun mengadakan kerjasama yang baik dan penglibatan formal dalam bentuk Asean Campur Tiga (China, Jepun and Korea Selatan), serta Asean Campur Enam, (Asean Campur Tiga campur Australia, New Zealand dan India) tetapi ini tidak termasuk menteri-menteri pertahanan.

"Banyak negara-negara bukan Asean berminat bekerjasama dengan Asean dalam bidang pertahanan dan keselamatan oleh kerana keselamatan kita semakin saling berkaitan," kata seorang pegawai sebelum Permukiman ADMM pada Selasa.

Menteri Pertahanan Malaysia Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, yang tiba di sini Isnin, telah melawat sebuah loji pelabuhan laut dalam, Laem Chabang di Thailand timur, di mana syarikat Malaysia, Weststar LDV Sdn Bhd mengadakan usaha sama dengan RM Asia Group bagi mengubahsuai dan menjual kenderaan untuk kegunaan pasukan bantuan kemanusiaan dan keselamatan.

Turut hadir ialah pengarah urusan Weststar, Datuk Seri Syed Azman Syed Ibrahim.

Pegawai itu berkata Permukiman itu akan membolehkan menteri-menteri itu membincangkan prinsip bagi keanggotaan rakan dialog Asean serta memutuskan mesyuarat peringkat awal sekali setiap tiga tahun.

Di bawah konsep yang dicadangkan, ADMM-Campur negara akan menjadi Rakan Dialog Penuh Asean, di mana statusnya selaras dengan Piagam Asean.

Menteri-menteri pertahanan yang mengadakan ADMM ketiga di Pattaya Februari lepas, berpendapat terdapat keperluan melibatkan peserta dari rakan-rakan dialog mereka, memperluas dan mempertingkat interaksi oleh kerana mereka terlibat dalam Forum Serantau Asean sekalipun ia memfokus kepada hal-hal keselamatan.

Juga dalam agenda ialah langkah mempromosi industri pertahanan di kalangan negara-negara anggota, dan pada Rabu menteri-menteri itu akan menghadiri Pameran Pertahanan dan Keselamatan di sini.

Ahmad Zahid akan juga mengadakan mesyuarat bilateral dengan rakan sejawatannya dari Singapura, Brunei, Vietnam dan Indonesia pada Selasa.

-- BERNAMA


Copyright © 2009 BERNAMA. All rights reserved.
This material may not be published, broadcast, rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Disclaimer.
Best viewed in Internet Explorer 4.0 & above with 800 x 600 pixels