| Produk Penapis Air Selamat Digunakan - Ongkili |
|
KUALA LUMPUR, 2 Nov (Bernama) -- Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi pada Isnin mengesahkan alat penapis air yang berada di pasaran adalah selamat untuk digunakan kerana telah mendapat kelulusan Sirim QAS International di bawah Skim Pensijilan Produk.
Menteri berkenaan Datuk Seri Dr Maximus Ongkili berkata kualiti dan tahap keselamatan produk itu disahkan berdasarkan standard MS IEC 60335, iaitu spesifikasi untuk keselamatan barangan elektrik.
"Produk penapis air sah dan selamat untuk digunakan kerana produk itu juga merupakan sejenis produk elektrik yang termasuk dalam senarai produk mandatori untuk pensijilan barangan," katanya dalam jawapan bertulis pada persidangan Dewan Rakyat di sini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Hey Loy Sian (PKR-Petaling Jaya Selatan) yang meminta penjelasan sejauh mana Kementerian melalui Sirim boleh memantau kualiti dan kebenaran dakwaan maklumat pada setiap produk kesihatan seperti alat penapis air dan alatan kesihatan yang kini banyak di pasaran.
Ongkili berkata Sirim melalui anak syarikatnya, Sirim QAS International menyediakan khidmat pensijilan, pemeriksaan dan pengujian dan melalui khidmat itu organisasi awam dan industri boleh membuktikan produk, perkhidmatan dan sistem pengurusan mereka mematuhi standard kebangsaan atau antarabangsa.
Beliau berkata selain pemantauan berterusan, Sirim juga akan melakukan ujian daripada beberapa sampel barangan yang berada di pasaran bagi memastikan produk-produk itu mencapai standard yang ditetapkan.
Selain Sirim, agensi lain yang bertanggungjawab memantau keselamatan dan kualiti barangan ialah Kementerian Kesihatan Malaysia dan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, khususnya untuk barangan makanan dan ubatan, katanya.
-- BERNAMA
|
|
|