| Pegawai Bank Malaysia Siasat Penipuan Kad Kredit Di Chennai |
|
Oleh P. Vijian
CHENNAI, 2 Nov (Bernama) -- Para pegawai sebuah bank terkemuka dari Malaysia telah mengadakan perjumpaan dengan pegawai tinggi polis Cawangan Jenayah bandar raya ini bagi mendapatkan maklumat tentang kad kredit palsu yang diperoleh daripada bank oleh satu sindiket diketuai seorang lelaki Sri Lanka.
Tiga pegawai Bahagian Pengurusan Risiko bank itu yang berpejabat di Kuala Lumpur tiba di sini minggu lepas.
Bernama difahamkan bahawa mereka, antara lain, meneliti peranti yang digunakan sindiket berkenaan bagi menghasilkan kad kredit palsu di bandar raya ini.
Bagaimanapun, usaha mendapatkan komen polis India tentang perkara itu tidak berhasil.
Kedatangan para pegawai berkenaan adalah susulan kepada penangkapan warga Sri Lanka berusia 25 tahun itu, yang kini memiliki kerakyatan Kanada, bulan lepas.
Suspek menggunakan khidmat tiga gadis Malaysia bagi membuat pembelian barangan berharga mahal dengan menggunakan kad kredit palsu yang sumber maklumatnya diperoleh daripada sebuah bank di Malaysia.
Semasa mereka diperalatkan oleh sindiket itu bagi membeli barang kemas, telefon bimbit dan barangan elektrik, gadis berkenaan mengikuti kursus persolekan di beberapa kolej di Chennai.
Mereka bagaimanapun pulang ke Malaysia setelah menamatkan kursus masing-masing dan dijangka disoal siasat oleh Interpol tentang hubungan mereka dengan sindiket itu.
Melalui operasi besar-besaran, polis bandar raya ini telah menahan beberapa warga India dan seorang rakyat Singapura yang didakwa mempunyai kaitan dengan sindiket itu.
Siasatan awal polis mendapati kumpulan itu telah membeli barangan bernilai hampir RM500,000 sejak beberapa bulan lepas dengan menggunakan kad kredit palsu.
-- BERNAMA
|
|
|