| Kem. Pelajaran Diminta Mansuhkan Surat Pelepasan Tanggungan Aktiviti Wajib Luar Sekolah |
|
KUALA LUMPUR, 2 Nov (Bernama) -- MIC Isnin meminta Kementerian Pelajaran memansuhkan arahan kepada ibu-bapa menandatangani surat pelepasan tanggungan bagi aktiviti luar sekolah yang mewajibkan pelajar hadir.
Setiausaha agungnya S.Murugesan berkata pemansuhan itu bagi memastikan pihak sekolah mahupun Kementerian Pelajaran bertanggungjawab dan menimbang segala risiko sebelum membawa pelajar mengikuti aktiviti luar sekolah.
Ini berikutan tragedi jambatan gantung yang runtuh di Sekolah Kebangsaan Kuala Dipang baru-baru ini yang menyebabkan tiga pelajar mati lemas.
"Kita seharusnya mengambil pengajaran daripada insiden ini. Amalan menandatangani surat itu boleh diterima apabila ibu-bapa mempunyai pilihan sendiri sama ada mahu menghantar anak mereka mengikuti aktiviti tersebut, namun ia tidak relevan jika aktiviti itu diwajibkan hadir oleh sekolah mahupun Kementerian Pelajaran," katanya kepada pemberita di sini Isnin.
Ketiga-tiga pelajar yang lemas itu adalah antara 298 murid dari 64 sekolah rendah dari Tronoh, Batu Gajah dan Kampar yang menyertai perkhemahan 1Malaysia di pusat berkenaan.
--BERNAMA
|
|
|