| Kualiti Air Minum Di Malaysia Terkawal |
|
SHAH ALAM, 2 Nov (Bernama) -- Masalah kualiti air minum di Malaysia khususnya daripada segi pematuhan kualiti air terawat untuk kesihatan adalah terkawal, kata Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Peter Chin.
"Contohnya bagi Selangor sepanjang tahun 2008, pencapaian kualiti air daripada segi parameter ketiadaaan bakteria dalam air minuman yang mempunyai kesan secara langsung terhadap kesihatan adalah melebihi 99 peratus," katanya dalam ucapan perasmian Simposium Pengurusan dan Pengauditan Industri Air 2009 di sini Isnin.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh timbalannya Noriah Kasnon.
Chin berkata kerajaan sentiasa memastikan mutu air di loji rawatan menepati piawaian ditetapkan tetapi kemerosotan kualiti air terutama daripada segi kekeruhan dan warna adalah disebabkan masih banyak lagi rangkaian paip lama di Selangor dan juga negeri-negeri lain.
Kerajaan telah meminta Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS) melaksanakan program penggantian rangkaian paip-paip lama di Selangor secara terancang, katanya.
Chin berkata pelaksanaan penggantian rangkaian paip lama dapat membantu mengurangkan kadar kehilangan air yang tidak terhasil (NRW) secara berperingkat-peringkat.
Pelaksanaan program kawalan NRW yang menyeluruh dan berterusan merupakan perkara yang perlu diberikan perhatian dengan penanda aras boleh dibuat di antara negeri-negeri, katanya.
"Saya difahamkan bahawa Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang dapat menguruskan NRW dengan baik dan telah mengekalkan NRW pada tahap kurang daripada 17 peratus selama dua tahun berturut-turut," katanya.
Bagi memastikan perkhdmatan serta kualiti air yang dibekalkan lebih berkesan dan mapan, Chin berkata keperluan prasarana dan pengurusan bekalan air mestilah dirancang secara teratur, sistematik dan telus.
"Sehubungan ini, di bawah pengawalseliaan SPAN (Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara), semua operator bekalan air akan diberi lesen oleh SPAN.
Di bawah syarat pelesenan SPAN, beberapa parameter kualiti air minum utama juga telah ditetapkan sebagai KPI (Petunjuk Prestasi Utama) yang mesti dipatuhi dan dicapai oleh semua operator," katanya.
Simposium selama dua hari anjuran Jabatan Audit Negara itu akan berakhir Selasa.
-- BERNAMA
|
|
|