Bernama.com
Am 16 Mac, 2009 15:12 PM
 
Dewan Rakyat Lulus Usul Gantung Gobind Setahun


KUALA LUMPUR, 16 Mac (Bernama) -- Dewan Rakyat hari ini meluluskan usul untuk menggantung anggota Parlimen Puchong Gobind Singh Deo daripada menghadiri sidang Dewan selama setahun berkuatkuasa serta-merta.

Tindakan itu diambil ekoran Gobind mengeluarkan kenyataan yang mendakwa Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak terbabit dalam kes pembunuhan dan juga menghina Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat ketika perbahasan peringkat Jawatankuasa Rang Undang-undang Perbekalan Tambahan (2009) pada 12 Mac lepas.

Penggantungan itu diputuskan oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia setelah pengundian sebulat suara daripada anggota Parlimen kerajaan yang hadir dalam persidangan Dewan hari ini.

Pandikar Amin mengumumkan keputusan berkenaan pada pukul 1 tengah hari. Ketika Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz menggulung perbahasan usul itu, anggota parlimen pembangkang bertindak keluar Dewan selepas menimbulkan kekecohan kerana tidak puas hati Gobind tidak dibenarkan membela diri.

Terdahulu, Pandikar Amin berkata beliau meluluskan usul itu kerana berpendapat ia adalah kerana kepentingan umum yang membawa persepsi kepada masyarakat yang melihat gelagat anggota Parlimen.

"Saya dah baca peraturan mesyuarat 27 (3), 80 (1) dan 44 (8) yang mana membolehkan usul patut dibahaskan dalam Dewan ini.

"Ini adalah tafsiran saya dan saya nak ingatkan keputusan Speaker di bawah peraturan 43 harus diterima. Ini perkara yang ada kaitan dengan tabiat gelagat dan keceluparan anggota Dewan berlindung dalam Dewan dan bukannya berlaku di luar sana. Semua tahu perkara ini berlaku," katanya.

Beliau berkata beliau faham mengenai kebebasan bersuara dan keistimewaan anggota Parlimen tetapi mestilah dalam tanggungjawab sendiri.

"Ini berpunca daripada anggota Parlimen sendiri dan bukan daripada saya. Saya lakukan ini supaya tidak berlaku lagi perlanggaran peraturan mesyuarat. Majlis yang bersidang adalah lebih berkuasa daripada Jawatankuasa Hak Kebebasan dan Keistimewaan yang diwujudkan sendiri," katanya.

Pandikar Amin berkata sama ada setuju atau tidak, Gobind juga enggan mengulangi kenyataan di luar Dewan seperti yang dilaporkan dalam sebuah akhbar kerana dilindungi dalam Dewan.

Beliau berkata ini bermakna tindakan itu (yang tidak mahu mengulangi kenyataan di luar Dewan terhadap tuduhannya kepada Timbalan Perdana Menteri) berselindung di sebalik keistimewaannya sebagai anggota Dewan.

Beliau berkata beliau juga sudah membaca hansard (penyata rasmi Parlimen) pada hari berkenaan Beliau mendapati Anggota Parlimen itu melakukan kesalahan di bawah Peraturan Mesyuarat 36 (6) iaitu sangkaan jahat, 36 (4) bahasa kurang sopan, 36 (9) menyebut sifat dan kelakuan anggota Parlimen selain daripada menjalankan urusan, 36 (2) menyebut perkara dalam pertimbangan mahkamah, 36 (10) b dan c iaitu membangkitkan perasaan marah kepada kerajaan serta menaikkan perasaan antara kaum.

Perbahasan kemudian diteruskan dengan Datuk Razali Ibrahim (BN-Muar) mengambil giliran.

Usul itu dicadangkan oleh Mohamed Nazri berikutan dakwaan yang dibuat oleh anggota parlimen Puchong itu adalah serius dan menyalahi hak dan keistimewaan sebagai anggota Parlimen serta satu penghinaan kepada Dewan.

Menurut usul berkenaan, dalam tempoh penggantungan itu Gobind tidak akan dibayar kesemua bayaran dan elaun sebagai anggota Parlimen.

Mohamed Nazri ketika menggulung perbahasan usul itu berkata perkara yang dilakukan oleh Gobind bukan satu unsur jenayah, oleh itu adalah tidak perlu untuk mengemukakan bukti untuk diteliti sebelum mensabitkan beliau dengan kesalahan berkenaan.

"Oleh kerana itu, kalau tindakan telah dilakukan dan jelas tindakan itu menampakkan sikap kurang ajar terhadap Timbalan Perdana Menteri, sudah cukup untuk kita mengambil tindakan terhadap beliau (Gobind).

"Tapi sekiranya, kalau anggota Parlimen Puchong mengaku dia gila, itu lainlah. Tapi saya percaya waktu dia buat kenyataan itu, dia tidak gila dan dia tahu apa yang dilakukannya adalah salah," katanya.

Mohamed Nazri turut menjelaskan ketidakhadiran Timbalan Perdana Menteri pada sidang Dewan hari ini kerana tidak mahu dikatakan mempengaruhi anggota Parlimen Barisan Nasional (BN) berhubung usul berkenaan.

-- BERNAMA
Copyright © 2010 BERNAMA. All rights reserved.
This material may not be published, broadcast, rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Disclaimer.
Best viewed in Internet Explorer 4.0 & above with 800 x 600 pixels