JAMIL ALI

 MEMERANGI JENAYAH RASUAH DI DALAM NEGARA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) adalah sebuah badan berkuasa untuk menyiasat dan mendakwa kes-kes rasuah. Di antara cabaran ialah menjalankan tugas dan tanggungjawab apabila berdepan dengan individu berstatus Yang Berhormat (YB) atau VIP. Sehubungan dengan itu, kita amat berharap bahawa di kalangan YB, mereka dapat memberi kerjasama.

Kita tidak perlu lagi dibayangi keresahan sekiranya SPRM dapat melaksanakan tugas sehingga keperingkat akar umbi, bermula dari Wakil Rakyat, Pegawai Daerah, Penolong Pegawai Daerah Pembangunan, Pemimpin Kemajuan Rakyat (PKR), CDO, ADDO, PJKKK sehingga kepada Kontraktor yang melaksanakan pelbagai projek.

Kita juga perlukan kerjasama sepenuhnya daripada Jabatan Pembanggunan Persekutuan Sabah (JPPS), Kementerian Pembangunan Luar Bandar Negeri Sabah (KPLBS ) atau kementerian dan agensi lain, umpamanya, untuk mengemukakan senarai agihan sebenar sesuatu projek yang dipohon dan disalurkan di sesuatu daerah. Kalau kita hayati memang tidak dinafikan terdapat beberapa kepincangan yang berlaku di dalam pengendalian projek oleh sesetengah pihak yang diberi amanah.

Kita tidak dapat menuding jari kepada siapa mengenai perkara ini. Contoh yang terdekat ialah peri hal pelaksanaan projek yang seperti mana dipohon oleh kampung A. Akan tapi pelaksanaannya dilakukan di kampung B, tanpa merujuk kepada PJKKK, atau masyarakat kampung tersebut terlebih dahulu. SPRM diharapkan dapat menjalankan tugas tanpa merujuk kepada setiap laporan polis terlebih dahulu. Sekiranya kita berpandukan kepada Senarai Kementerian, maka amat mudahlah untuk mengesan pelaksanaan projek tersebut dan amat mudah juga SPRM mencari bukti terhadap mereka yang menyeleweng di dalam proses pelaksanaan projek itu. Ada di kalangan yang terlibat dalam projek berkenaan amat sedar bahawa perbuatan mereka adalah menyalahi arahan kerja.

Kita juga mengharapkan agar SPRM merujuk kepada penyaluran kewangan mengenai hala tuju pelaksanaan sesuatu projek itu dengan meneliti setiap arahan kerja / skop kerja yang diberikan sebagai garis panduan serta dapat meneliti pelaksanaan projek yang telah dilaksanakan itu sesuai dengan tempoh syarat kerja-kerja pelaksanaan.

SAAD NOORDIN

KEKOSONGAN KERUSI DEWAN UNDANGAN NEGERI KOTA SEPUTIH. Jika keputusan mahkamah tidak berubah, pilihan raya kecil pasti akan diadakan di Kedah. Apa pun keputusan yang akan berlaku setelah pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mendapatkan pandangan Peguam Negara,  Kedah akan menjadi tumpuan penyokong Umno, Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat (PR). Apa pun keputusan yang akan berlaku, kejadian wakil rakyat gagal hadiri sidang dewan tidak sepatutnya berlaku kerana sebagai wakil rakyat telah dimaklumkan undang undang dan peraturan sejak mereka mengangkat sumpah menjadi wakil rakyat.

Bagaimanapun, perkara yang sudah berlaku tidak mampu ditarik balik. Ini adalah satu pengajaran kepada wakil rakyat lain, terutama di Kedah supaya tidak mengambil sikap sambil lewa untuk hadir ke sidang dewan apabila memegang gelaran wakil rakyat. Amat sedih dan memalukan perbuatan yang dilakukan oleh wakil rakyat dari BN sendiri yang sudah hampir empat penggal menjadi wakil rakyat.

Setelah keputusan mahkamah tersiar di media cetak dan elektronik, orang ramai mula bertanya mampukah BN mempertahankan kerusi Kota Seputih dalam pilihan raya kecil itu nanti? Pihak PAS dari awal-awal lagi begitu ghairah untuk menawan Kota Seputih walaupun keputusan mahkamah belum dibuat. Jika apa pun yang akan berlaku, mampukah BN Kedah mempertahankan kawasan yang menjadi idaman PAS itu bagi mengukuhkan kegoyahan yang melanda kerajaan Pakatan Rakyat Kedah sejak akhir-akhir ini?

Pilihan raya kecil Kota Seputih jika berlaku, sebenarnya adalah satu ujian kepada kepimpinan Badan Perhubungan Umno Kedah yang dilihat tidak begitu mampan sejak diterajui Dato Seri Mohd Shafie Apdal. Rakyat Kedah terutama pengundi di kawasan itu dari penyokong BN akan bekerja bersungguh sungguh untuk mengekalkan kerusi itu di tangan Umno, tetapi mampukan calon yang akan dipilih nanti dapat diterima pengundi di kawasan itu? Untuk bersandar kepada kejayaan Barisan memenangi pilihan raya kecil baru-baru ini di Bagan Pinang, Negeri Sembilan dengan majoriti yang begitu mengejutkan, mampukah diulangi di Kota Seputih? Mampukah Badan Perhubungan Umno Kedah menampilkan calon veteran seperti yang ditonjolkan di Bagan Pinang jika tren itu kini popular untuk diteruskan? Apakah Badan Perhubungan Umno Kedah bersedia mencalonkan kembali bekas menteri besar Kedah, Tan Sri Osman Aroff sebagai calon Kota Seputih atau bekas Exco kedah Datuk Paduka Abd Rahman Ibrahim atau Datuk Abd Rahman Ariffin?

Jika inilah yang akan berlaku, relakah pemimpin muda di kawasan itu dengan calon yang disebutkan tadi? Jika di Bagan Pinang bekas menteri Besar, Tan Sri Isa Abdul Samad dapat diterima rakyat dan pengundi Bagan Pinang memberikan undi yang mengejutkan, mampukah formula ini diperkenalkan sekali lagi di Kedah? Kota Seputih adalah klu kepada BN Kedah untuk menghadapi pilihaan raya umum ke 13 nanti. 

JAMIL ALI

USAHA TARIK BELIA JADI ANGGOTA RELA: Sukacita saya merujuk kenyataan Menteri Dalam Negeri Datuk Hishammuddin Tun Hussein yang berkata bahawa kementeriannya sedang memantapkan modul latihan Ikatan Relawan Rakyat (Rela) dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) sebagai usaha menarik golongan belia menyertai agensi itu. Katanya masih terdapat kira-kira 9 juta anak muda masih belum terbabit dalam sebarang aktiviti persatuan di negara ini.

Di antara kenyataan Yang Berhormat yang dipetik di sini adalah seperti berikut: "Kita mahu modul dalam Rela dan JPAM yang lebih mencabar dan menguji semangat anak muda dari semua kaum. Ini dapat mencapai matlamat gagasan 1Malaysia di mana penting bahawa masyarakat pelbagai kaum khususnya anak muda dapat berinteraksi sesama mereka, di samping membantu mengurangkan kadar jenayah di negara ini," katanya.

Kita mengucapkan terima kasih atas perhatian Menteri KDN dalam menangani sifar jenayah di negara. Persoalannya ialah:  Apakah langkah perlu untuk menarik minat kalangan remaja bagi melibatkan diri dalam berpersatuan? RELA, umpamanya, kita melihat dari sudut kebajikan anggotanya masih pada takuk lama dengan menekankan prinsip SUKA RELA dalam segala hal. Sepatutnya, kita perlu memikirkan bahawa seorang ahli RELA terutama di kalangan masyarakat luar bandar untuk menjadikan dianya aktif hendaklah menggunakan kos untuk turun dari rumah kediaman menuju ke padang kawat bagi mengikuti Latihan Mingguan.

Berbanding JPA dan Askar Wataniah yang mana setiap kalangan anggotanya yang mengikuti aktiviti kawat mingguan akan diberi insentif gantian kos tambang pada kadar tertentu mengikut kiraan jam mereka hadir. Mengapa kita tidak lihat betapa Ahli RELA juga perlu diberikan insentif serupa bagi mengurangkan bebanan, terutama dalam soal kos tambang pergi dan balik semasa mengikuti aktiviti hujung minggu, seperti menghadiri kawat?  Kita ingin lihat RELA menjadi sebuah pasukan sukarela yang unggul dengan mencapai sasaran 2.5 juta ahli.

Kita sebaliknya tidak mahu melihat kaedah YANG DIKEJAR TAK DAPAT YANG DIKENGDUNG BERCICIRAN dalam mengejar sasaran tersebut dengan kita asyik mendaftar ahli baru, tetapi ahli lama akan beransur kurang kerana tekanan kewangan yang terhad. Kita memang tidak perlu bertanya: Apakah sumbangan negara pada kita? Akan tetapi perlu kita perlu tanya juga: Apakah sumbangan negara bagi mengurangkan bebanan kewangan anggota untuk mengikuti khusus dan  aktiviti hujung minggu yang kini dijadikan wajib hadir? Kita mengharapkan agar Menteri Dalam Negeri dapat memikirkan permasalahan ini terutama kalangan anggota RELA Sabah di luar bandar yang tidak mempunyai pendapatan tetap.

JAMIL ALI

BAJET 2010 - APA YANG SEBENAR SERING TERJADI DI LUAR BANDAR: Agenda penting dalam intipati Bajet 2010 adalah untuk kepentingan bersama. Suka saya merujuk kepada peruntukan yang disalurkan kepada Kementerian Pembangunan Luar Bandar yang menjurus kepada kemudahan asas demi kepentingan rakyat. Melihat betapa pentingnya belanjawan yang disalur dengan jumlah yang besar agar mencapai tahap yang diharapkan.

Menyedari akan keperluan sukalah saya mencadangkan agar penubuhan jawatankuasa pemantau pelaksanaan projek-projek luar bandar khususnya dapat diwujudkan. Merujuk kepada beberapa pelaksanaan projek yang disalurkan melalui permohonan yang dibuat oleh penduduk kampung, pelaksanaan dilakukan oleh kalangan kontraktor yang hanya tahu menilai berapa keuntungan mereka semata-mata. Ini lebih banyak merugikan kewangan negara.

Seharusnya kalangan kontraktor perlu mengikuti skop kerja yang betul. Sebagai contoh yang jelas beberapa projek titian / jeti nelayan yang memerlukan peruntukan yang besar tetapi dilihat tidak menitik beratkan betapa pentingnya keperluan asas masyarakat dalam suatu jangka masa yang panjang. Arahannya adalah jelas - mengganti perkakas, bukannya menterbalikkan kepingan papan untuk mengabui mata juruteknik / pegawai pemeriksa dari Pejabat Daerah atau JKR untuk mengesahkan pembinaan berkenaan.

Perbuatan demikian sering berlaku di kalangan kontraktor yang tidak bertanggungjawab.  Kemudahan yang sepatutnya dapat digunakan sekian lama, tetapi dalam masa beberapa bulan sahaja, tanda-tanda kerosakan semakin menjadi-jadi. Maknanya, penggunaan kewangan negara dalam menyediakan keperluan asas untuk Rakyat nampaknya dikaut oleh kontraktor hanya mementingkan diri mereka semata-mata. 

Kerajaan seharusnya dapat mengwujudkan satu Jawatankuasa Bertindak Penilai Penambahbaikan Pembanggunan Dan Pelaksanaan Projek. Para anggotanya hendaklah diwakili oleh Jurutektik Jabatan Kerja Raya, SPRM, UPKR, serta ahli parti BN dan PR serta NGO yang menjurus kepada memperjuangkan kepentingan Rakyat sebelum Bayaran Tuntutan Kerja dilakukan. Kita tidak mungkin dapat menuding jari kepada sesiapa pun mengikut cara ini, tetapi kita mengharapkan agar pelaksanaan sesuatu projek menepati kehendak skop kerja.

Kita mengharapkan agar sesebuah kampung dapat melangkah ke hadapan dengan pelbagai kemudahan asas bertambah, bukannya menjadikan kampung sebagai lombong emas kepada kalangan kontraktor yang dilihat tidak pedulikan manfaat untuk masyarakat pengguna.

Projek-projek membaikpulih merupakan aktiviti pembinaan yang membawa kerugian kepada Rakyat kerana belum pun mencapai tahap matang, projek asal itu perlukan penyelengaraan semula. Kenapa?  Pembinaan yang hanya disiapkan dalam masa singkat bermungkinan besar menggunakan perkakasan yang mudah reput, tidak berkualiti atau tidak mengikut spesifikasi dan akibatnya akan membahayakan para pengguna.

SAAD NOORDIN

KEFAHAMAN MESEJ PRESIDEN UMNO: Sesetengah Ahli Dewan Undangan Negeri Kedah faham ataupun tidak mesej yang disampaikan Presiden parti, Datuk Seri Mohd Najib Razak ketika berucap di Perhimpunan Agung UMNO baru baru ini? Beliau mahukan pemimpin UMNO di setiap negeri berubah dari sikap sebelum ini kepada yang lebih baik yang dapat diterima rakyat semua kaum.

Di Kedah nampaknya wakil wakil rakyat di kalangan UMNO ada yang masih tidak dapat menerima saranan Presiden parti yang juga Perdana Menteri Malaysia kerana menyalahkan wartawan apabila mendedahkan masalah di kawasan masing-masing. Baru baru ini, seorang wakil rakyat UMNO menuduh seorang wartawan TV sebagai penyokong pembangkang. Terus terang saya katakan penyokong Pas kerana beliau tidak puas hati stesen TV berkenaan mendedahkan masalah satu keluarga yang hidup daif di kawasannya.

Jadi, kami di kalangan wartawan amat keciwa dengan perangai wakil rakyat ini yang jelas mahu pihak wartawan membantunya menutup masalah yang ada di kawasanya supaya semuanya nampak tidak ada masalah. Beginikah perangai wakil rakyat kita yang anguk kepala ketika Datuk Seri presiden mengajak semua dalam parti berubah ke arah yang lebih baik?

Tetapi apabila balik ke kawasan, lain pula jadinya. Untuk pengtahuan semua, wakil rakyat UMNO di Kedah, khususnya, kami wartawan bukan pecacai kepada wakil rakyat, tetapi bekerja untuk negara dan rakyat, malah ada wartawan yang menulis di dinding pejabat mereka dengan kata kata - "Wartawan bekerja untuk rakyat bukan untuk wakil rakyat".

Melalui ruangan ini, saya menyeru rakan rakan wartawan di Kedah supaya memulaukan wakil rakyat yang hipokrit dan dedahkan apa yang sebenarnya berlaku di kawasan liputan anda untuk diketahui oleh pucuk pimpinan UMNO pusat dan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak.

Ada wakil rakyat di Kedah yang mahu masalah di kawasannya tidak didedahkan dalam media atau TV kerana bimbang tidak terpilih dalam pilihan raya umum akan datang. Dedahkan apa yang sebenarnya berlaku di sesuatu kawasan Dewan Undangan Negeri Kedah. Kepada wakil wakil rakyat UMNO di kedah, belajarlah memahami tugas dan tanggung jawab wartawan. Sebagai wartawan, saya amat kesal dengan dakwaan wakil rakyat itu yang menuduh seorang wartawan TV di negeri ini sebagai penyokong parti pembangkang kerana mendedahkan kemiskinan satu keluarga miskin di kawasan beliau baru baru ini.

Inikah sikap seorang wakil rakyat yang hanya mahu kawasannya didedahkan dengan yang baik baik sahaja dan melenting bila didedahkan dengan kemiskinan penduduk di kawasannya? Selalunya wakil rakyat ini mendapat liputan media walaupun turun padang untuk goreng kuih di majlis yang tidak patut dijadikan bahan berita. Sikap seperti ini amat dikesalkan kerana jelas bertentangan dengan hasrat pucuk pimpinan parti Datuk Seri Mohd Najib Razak yang mahukan semua pihak dalam UMNO berubah dalam matlamat rakyat diutamakan. Wakil rakyat seperti ini rasanya tidak diperlukan lagi dalam pilihan raya umum ke 13 nanti. 

JAMIL ALI

BAJET 2010 - UMPAMA DEBARAN MENANTI KELAHIRAN BAYI BAGI SETIAP PASANGAN SUAMI ISTERI. Kerajaan hari ini selaras dengan konsep 1Malaysia dalam memperjuangkan hak dan keistemewaan petugas Kerajaan dengan pelbagai tuntutan, sewajarnya perlu memikirkan betapa sumbangan warga sukarelawan, khusus dalam aspek keselamatan.

Umpamanya, Ikatan Relawan Rakyat Malaysia ( RELA ) tidak harus diletakkan dalam pilihan kedua. Sejarah telah membuktikan betapa sumbangan anggotanya seiring dengan kehendak Kerajaan dalam mempastikan misi kepimpinan dapat dijayakan sepenuhnya.

Bajet 2010 merupakan suatu detik juga kepada golongan ini untung nasib mereka turut terbela. Sememangnya, kita tidak perlu mempersoalkan apakah sumbangan negara pada kita, akan tetapi perlu kita persoalkan sejauh mana keperihatinan kepimpinan terhadap sumbangan golongan in?

Sekurang-kurangnya pihak Kerajaan perlu memikirkan apakah perlu untuk mereka ini dibela? Pelbagai sumbangan mereka telah hulurkan baik dari aspek ekonomi, keselamatan bahkan keputusan pilihan raya pun mereka jadi penyumbang. Kalau golongan Orang Kurang Upaya (OKU)dapat difikirkan untuk sedikit insentif, mengapa RELA tidak diberi peluang untuk mengecapi walau pun sedikit hasil kekayaan negara kita? Anggota RELA juga sebahagiannya merupakan penyumbang utama kejayaan misi Kerajaan dalam menentukan hala tuju negara.

Kita amat yakin dengan konsep 1Malaysia dan terhadap barisan kepimpinan pada hari ini, maka dengan itu, anggota pasukan ini seharusnya dapat pembelaan dan seterusnya meletakkan RELA bukan sekadar Benteng Ketiga Pertahanan Negara. Malah, lebih daripada itu, kebajikan mereka hendaklah diberi keutamaan sejajar dengan peredaran masa yang turut dinikmati oleh pasukan-pasukan keselamatan dan pertahanan yang lain.

SAAD NOORDIN

SUSULAN PILIHAN RAYA KECIL BAGAN PINANG: Kempen pilihan raya kecil di Negeri Sembilan itu jelas membuktikan penyokong parti parti pembangkang telah hilang rasa hormat kepada undang undang negara ini dan tata susila dengan memprovokasi berbagai kejadian bagi memperlihatkan keadaan negara ini sudah terjejas sistem keselamatannya. Inilah sabenarnya imej parti parti pembangkang di negara ini yang lebih mengutamakan kekerasan untuk menang walaupun mereka tahu calon Pas dalam pilihan raya itu tidak akan menang kerana Bagan Pinang adalah kubu kuat Umno dan Barisan Nasional (BN).

Paling menyedihkan , penyokong parti pembangkang sanggup membelakangi undang undang negara ini dengan melakukan serangan kekerasan terhadap pemimpin Umno seperti yang dilakukan terhadap Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Abdul Azeez Abd Rahim. Sebenarnya, rakyat negara ini yang dikenali dunia sebagai amat berbudi bahasa boleh melakukan perbuatan biadap seperti itu semata mata kerana hendak mencetuskan permasalahan untuk mencemarkan imej negara disegi keselamatan. Ini sebenarnya menjelaskan penyokong parti pembangkang kini sudah diserapi ideologi komunis yang pernah berlaku sebelum ini di negara ini yang dicetuskan pengganas komunis melalui kongsi gelap.

Kini ideologi itu sudah menular ke dalam parti parti politik pembangkang di negara ini dengan menonjolkan imej ganas dan ke arah mencemarkan sistem keselamatan dan perundangan negara. Mungkin bagi mereka yang terbabit melakukan keganasan pada hari penamaan calon pilihan raya kecil DUN Bagan Piang tidak sedar mereka sudah dipengaruhi ideologi komunis dengan mencetuskan berbagai provokasi ganas yang tidak pernah berlaku sebelum ini.

Keghairahan penyokong parti pembangkang mencetuskan keganasan amat memalukan termasuk semasa pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh sebelum ini. Mungkin penyokong parti parti pembangkang yang begitu tidak berakal sanggup melakukan perbuatan jenayah seperti itu semata mata mahu menonjolkan imej berani, tetapi apa yang sebenarnya mereka sudah menjadi alat kepada agen komunis dalam melebarkan ideologi mereka melalui parti parti politik pembangkang di negara ini yang merelakan mereka menjadi alat kepada pihak tertentu yang sedang berusaha mahu menghancurkan negara ini melalui sistem politik.

Kejadian menyerang Ketua Umno Bahagian Baling yang juga selaku Ahli Majlis Tertinggi Umno itu tidak seharusnya berlaku jika dilihat dari sudut mana sekali pun, kerana undang undang negara perlu diberi keutamaan. Tetapi kerana sudah terhasut dan merelakan diri menjadi alat kepada pihak yang mahu menghancurkan negara, golongan penyokong pembangkang sanggup melakukan apa saja asalkan tujuan untuk menimbulkan imej buruk terhadap sistem perundangan negara dapat dilihat oleh dunia luar.

Itulah tujuan mereka sebenarnya dan jelas perbuatan seperti itu didalangi ideologi komunis yang kini sudah beralih pergerakan mereka dari berjuang di dalam hutan menggunakan senjata api, kini dilihat mereka sudah berjaya melebarkan ideologi melalui parti politik pembangkang di negara ini.

Keadaan ini pernah berlaku sekitar tahun 1950 hingga 1960 yang mana ideologi komunis yang diterajui Parti Komunis Malaya (PKM) berjaya menggunakan parti politik, pertubuhan pelajar, Kesatuan Sekerja dan Buruh Pertubuhan Kebudayan dan profesional sebagai dalang dalam menyebarkan ideologi komunis di negara ini. Selepas perletakan senjata PKM pada disember 1989 hubungan pemimpin PKM dengan pemimpin politik terutama dari parti pembangkang di negara ini telah terjalin dan yang paling jelas usaha usaha membawa pulang setiausaha agung PKM, Chin Peng turut mendapat sokongan beberapa pemimpin parti pembangkang, termasuk Ketua Pembangkng Anwar Ibrahim. Bukan sesuatu yang mustahil ideologi komunis dari PKM kini sudah berakar umbi semula di negara ini melalui perjuangan parti parti politik terutama pembangkang dalam usaha menghidupkan kembali perjuangan komunis di negara ini.

Apa yang dapat dilihat selama ini seperti gelagat anggota parti pembangkang di dewan undangan negeri Perak, peristiwa menahan kenderaan yang dinaiki Raja Muda Perak, gelagat sesetengah anggota Parlimen sewaktu dalam dewan dan keganasan semasa pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh dan yang berlaku semasa penamaan calon pilihan raya kecil Bagan Pinang, Negeri Sembilan sama seperti yang pernah berlaku sebelum tercetusnya 13 May dan Hartal di Pulau Pinang termasuk pembunuhan seorang pekerja Umno Pulau Pinang dengan wajahnya disimbah cat adalah angkara perbuatan penyokong PKM.

Apa yang disebutkan di atas adalah perbuatan mereka yang telah didalangi anasir-anasir komunis dalam negeri untuk mencetuskan keganasan dan haru hara dalam negara supaya  rakyat terkeliru mengenai undang undang dan keselamatan negara. Inilah caranya anasir-anasir komunis memainkan peranan untuk menggugat kepimpinan negara melalui penyokong mereka dengan melakukan keganasan dan provokasi agar rakyat percaya bahawa merekalah sebenarnya pejuang tulen. Kepimpinan parti-parti pembangkang diperhatikan sudah diserapi ideologi komunis. Jadi, inikah orang yang mahu dipilih untuk bersuara di Dewan Undangan Negeri dan Parlimen untuk mewakili rakyat di negara ini? Jangan sudah nasi jadi bubur baru hendak dikesalkan. Ketika itu semuanya sudah terlambat.