Bernama.com
Malaysian National News Agency

Susu Pekat Manis Kekal Pada Harga Lama

July 01, 2007 17:27 PM
KUALA LUMPUR, 1 Julai (Bernama) -- Walaupun beberapa syarikat pengeluar produk susu isian pekat manis telah mengedarkan pekeliling untuk menaikkan harga produk mereka berkuatkuasa hari ini, namun tinjauan di sekitar ibu negara, Seremban dan Shah Alam mendapati para peniaga runcit masih menjualnya pada harga lama.

Tinjauan Bernama di beberapa pasar raya di Selayang, Keramat dan Ampang serta dua buah pasar raya yang dihubungi di Seremban dan Shah Alam mendapati para peniaga belum menaikkan harganya kerana masih mempunyai stok lama.

Seorang peniaga yang ingin dikenali sebagai Yong dari Selayang berkata beliau menampal notis kenaikan harga daripada pengilang susu tin F&N Dairies dan Etika Foods Marketing bermula hari ini untuk memaklumkan kepada pelanggannya.

Yong juga menunjukkan notis pengilang lain iaitu Nestle yang turut menaikkan harga susu isian pekat manis mereka.

Dalam notis syarikat-syarikat tersebut menunjukkan kenaikan harga susu krimer sejat seberat 400 gram naik paling tinggi sebanyak 40 sen setin sementara krimer pekat manis seberat 505 gram naik sebanyak 20 sen kepada RM2.60 setin.

F&N Dairies dalam notisnya menyebut kenaikan berpunca daripada peningkatan kos susu tanpa lemak, minyak kelapa dan bahan pembungkusan.

Peniaga Tan Chin Wah dari Keramat berkata beliau mengekalkan harga lama kerana masih mempunyai stok lama dan akan menaikkan harganya apabila membeli stok baru yang terlibat dalam kenaikan itu.

"Bulan lepas, saya susah dapat stok susu tapi masuk bulan ini senang dapat stok, mungkin sebab harga sudah baru," katanya.

Peniaga Lau Szuen dari Ampang yang belum menaikkan harga susu pekat manis berkata kerajaan perlu campur tangan dengan kenaikan produk itu seperti memberi subsidi.

"Susu tin tak sama macam sayur dan ikan, boleh turun naik. Makanan tin kalau naik tak boleh turun," katanya.

Pada 20 Jun lalu, syarikat pengeluar makanan F&N memberitahu akan menaikkan produk mereka sehingga 20 sen setin mulai hari ini.

Bagaimanapun, menurut Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk S. Veerasingam, pihaknya tidak akan mengambil tindakan kerana produk berkenaan bukan barang kawalan yang dilindungi oleh undang-undang tertentu.

-- BERNAMA


Copyright 2014 BERNAMA. All rights reserved.
This material may not be published, broadcast, rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA. Disclaimer