Bernama.com
Pertubuhan Berita Nasional Malaysia

Bapa MB Selangor Meninggal Dunia
Am
17 Ogos, 2005 22:17 PM
SHAH ALAM, 17 Ogos (Bernama) -- Bapa Menteri Besar Selangor Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo, Joyo Erodikromo meninggal dunia di rumahnya di Tali Air 2, Ban 4, Sungai Burung, dekat sini hari Rabu kerana sakit tua.

Joyo, 98, meninggal dunia pada kira-kira pukul 1.30 tengah hari, menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh sekretariat akhbar Pejabat Menteri Besar.

Allahyarham meninggalkan seorang balu Siti Aminah Mohd Taib dan sembilan orang anak -- lima lelaki dan empat perempuan.

Dr Mohamad Khir merupakan anak kelima pasangan itu.

Sementara itu, jenazah Allahyarham Joyo selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Batu 12, Sungai Burung, Tanjong Karang selepas asar.

Antara yang mengiringi jenazah Allahyarham ialah bekas Menteri Besar Selangor Tan Sri Muhammad Muhd Taib, Speaker Dewan Undangan Negeri Selangor Tan Sri Onn Ismail dan Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri yang juga anggota Parlimen Tanjong Karang Datuk Noh Omar.

Dr Mohamad Khir tenang sepanjang upacara pengebumian dijalankan walaupun sesekali dilihat menitiskan air mata.

Siti Aminah ketika ditemui berkata Allahyarham suaminya meninggal dunia ketika sedang tidur.

-- BERNAMA

Copyright 2014 BERNAMA. All rights reserved.
This material may not be published, broadcast, rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA. Disclaimer