|
Bernama.com Pertubuhan Berita Nasional Malaysia Kontrak Sosial Kekal Relevan Sampai Bila-bila, Kata Ghani Am 16 Ogos, 2005 21:24 PM |
|
JOHOR BAHARU, 16 Ogos (Bernama) -- Formula kontrak sosial antara kaum yang dipersetujui semasa negara mencapai kemerdekaan 48 tahun lalu akan kekal relevan sampai bila-bila walaupun perubahan terus berlaku, kata Menteri Besar Johor Datuk Abdul Ghani Othman hari Selasa.
Beliau yang juga Pengerusi Perhubungan Umno negeri berkata oleh itu ia tidak wajar dipertikaikan kerana kewujudannya telah terbukti menjamin perpaduan antara kaum. "Kita jangan sekali-kali menidakkan apa yang dipersetujui dan dijanjikan oleh nenek moyang pada masa dahulu. Kontrak sosial ini iaitu yang termaktub dalam Fasal 153 Perlembagaan Persekutuan sebenarnya bukan sesuatu yang dianggap sebagai diskriminasi kaum. "Saya menganggap kontrak sosial ini bukan sahaja bersifat adil dan relevan pada masa dahulu, tetapi juga pada masa sekarang kerana ia adalah asas yang paling kukuh dalam pembentukan Malaysia," katanya kepada pemberita sempena sambutan ketibaan Kembara Merdeka Jalur Gemilang 2005, di Plaza Angsana, Tampoi, dekat sini. Abdul Ghani diminta mengulas lanjut perkara itu yang disentuh semasa berucap sebelum itu. Beliau berkata walaupun terdapat banyak perubahan selaras dengan perkembangan masa kini namun formula berkenaan masih amat penting terutama dalam membentuk patriotisme rakyat bagi merealisasikan kemakmuran dan kecemerlangan negara pada masa akan datang. Pada Ahad lepas, Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi Datuk Seri Dr Lim Keng Yaik yang juga Presiden Gerakan dilaporkan meminta supaya formula itu diketepikan kerana ia membuatkan kaum Cina dan India 'kecil hati'. Sementara itu kira-kira 100 tetamu hadir menyambut ketibaan dua pasukan kembara Merdeka Jalur Gemilang 2005 anjuran Jabatan Penerangan Malaysia di sini petang Selasa. Konvoi itu yang dibahagikan kepada dua zon iaitu Zon Barat dan Zon Timur telah memulakan perjalanan mengelilingi Semenanjung tanah air sejak 2 Ogos lalu dari Kota Baharu, Kelantan. Bandaraya ini adalah destinasi terakhir di Semenanjung dan titik pertemuan kedua-dua konvoi. Mereka akan menyambung perjalanan ke Malaysia Barat selepas pelancaran sambutan Bulan Kemerdekaan dan Kempen Kibar Jalur Gemilang, yang akan dilakukan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi di Teluk Danga, di sini Rabu malam. Konvoi itu disertai 96 anggota berserta 30 buah kenderaan bertujuan untuk meningkatkan semangat patriotisme dan rasa tanggungjawab terhadap negara, menghayati sejarah perjuangan negara selain menggalakkan pengibaran Jalur Gemilang sempena Hari kebangsaan dan menanam Bunga Raya yang menjadi lambang negara. -- BERNAMA |
| Copyright © 2010 BERNAMA. All rights reserved. This material may not be published, broadcast, rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA. Disclaimer |