Bernama.com
Am 16 Julai, 2010 21:45 PM
 
Klang Kini Punyai Dua IPD


KLANG, 16 Julai (Bernama) -- Daerah Klang kini mempunyai dua Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) iaitu Klang Utara dan Klang Selatan yang daerah sempadan operasinya dipisahkan oleh Sungai Klang.

Ketua Polis Daerah Klang sebelum ini, ACP Mohamad Mat Yusop hari Jumaat menyerahkan pentadbiran IPD Klang kepada Ketua Polis Daerah Klang Utara, Supt Mohamad Shukor Sulong dalam upacara serah-terima tugas dengan disaksikan oleh Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk A.Thaiveegan.

Mohamad pula akan mengetuai IPD Klang Selatan.

Beliau berkata IPD Klang Selatan akan mempunyai empat Balai Polis iaitu di Pandamaran, Pelabuhan Klang, Klang dan Pulau Ketam selain daripada empat balai polis komuniti di Taman Sentosa, Bukit Tinggi, Teluk Gong dan Pulau Indah.

IPD Klang Utara pula memiliki enam balai iaitu di Kapar, Meru, Sungai Kapar, Bukit Raja, Bandar Baru Klang dan di Bandar Sultan Sulaiman (Pelabuhan Klang).

Thaiveegan berkata IPD Klang Utara akan ditempatkan di Balai Polis Sungai Kapar yang sedang dalam proses ubah-suai yang dijangka siap bulan depan.

Sejumlah 200 pegawai dan kakitangan akan berkhidmat di bawah IPD Klang Utara.

-- BERNAMA
Copyright 2014 BERNAMA. All rights reserved.
This material may not be published, broadcast, rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Disclaimer.
Best viewed in Internet Explorer 4.0 & above with 800 x 600 pixels