Bernama.com
Am 01 Julai, 2010 21:24 PM
 
Permohonan Tapak Bazar Ramadan Mulai Jumaat


KUALA LUMPUR, 1 Julai (Bernama) -- Peniaga yang berminat berniaga di bazar Ramadan boleh mendapatkan borang permohonan untuk tempahan tapak jualan di pejabat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan semua cawangannya yang berdekatan mulai Jumaat.

Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Ahmad Fuad Ismail berkata tarikh tutup permohonan adalah pada 12 Julai, manakala tarikh cabutan undi ialah pada 19 Julai ini.

Katanya, DBKL akan menyediakan sebanyak 7,920 petak di kawasan undi iaitu dua lokasi di Jalan Tunku Abdul Rahman dan 6 lokasi di kawasan Parlimen.

"DBKL turut menyedia 542 petak bagi 94 lokasi yang tidak perlu undian, dan 6,029 petak anjuran persatuan, badan bukan kerajaan (NGO) dan pihak swasta", katanya kepada pemberita pada sidang akhbar Bazar Ramadan di sini.

Kadar lesen dan caj perkhidmatan yang dikenakan untuk Bazar Ramadan kali ini terbahagi kepada empat bahagian mengikut lokasi, iaitu kawasan undi di lorong Jalan Tuanku Abdul Rahman dan tapak wakaf pemuzik buta ialah RM161 hingga RM695 sepetak, sementara kadar lesen dan caj perkhidmatan bagi enam kawasan undian lain ialah antara RM142 hingga RM185 sepetak.

Kawasan tiada undian anjuran DBKL pula dikenakan caj RM142 hingga RM185 sepetak manakala kawasan yang diurus oleh persatuan dan NGO di sekitar Kuala Lumpur iaah sebanyak RM163 hingga RM410 sepetak.

Katanya, mereka yang berminat boleh memuat turun borang dari laman web DBKL www.dbkl.gov.my, atau mendapatkannya di pejabat DBKL dan cawangannya yang berhampiran.

-- BERNAMA
Copyright 2014 BERNAMA. All rights reserved.
This material may not be published, broadcast, rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Disclaimer.
Best viewed in Internet Explorer 4.0 & above with 800 x 600 pixels