Bernama.com
Am 28 Jun, 2010 19:29 PM
 
Pencalonan Anugerah Darjah Dan Bintang Kebesaran WP 2011 Dibuka 1 Julai


KUALA LUMPUR, 28 Jun (Bernama) -- Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar membuka pencalonan untuk penganugerahan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan (DKBPWP) bagi 2011 selama tiga bulan mulai 1 Julai ini.

Ketua Setiausaha kementerian Datuk Ahmad Phesal berkata pencalonan itu terbuka kepada warga Wilayah Persekutuan yang banyak berjasa dalam membangun dan memajukan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.

"Ini juga termasuk mereka yang bukan bermastautin tetapi memberi sumbangan dan khidmat yang cemerlang untuk Wilayah Persekutuan," katanya dalam satu kenyataan di sini, Isnin.

Beliau berkata pencalonan boleh dibuat menggunakan tujuh borang mengikut kategori seperti Perkhidmatan Awam (A), Pihak Berkuasa Tempatan/ Badan/ Barkanum (B), Swasta/Persatuan/Sukarela/Sukan (C), Warganegara Asing (D), Perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia (E), Perkhidmatan Polis DiRaja Malaysia (F) dan Pertubuhan Politik (G).

Ahmad Phesal berkata bahawa semua pencalonan perlu mematuhi ketetapan dan syarat-syarat yang ditetapkan dan pencalonan boleh dibuat secara online di laman web rasmi iaitu www.kwp.gov.my.

Senarai calon yang berjaya akan diumumkan pada Disember 2010 atau awal Januari 2011, katanya.

Sebarang pertanyaan mengenai pencalonan anugerah DKBPWP boleh dibuat kepada Urus Setia di talian 03-8889 7888 atau e-mel kepada dkbpwp@kwp.gov.my



-- BERNAMA
Copyright 2014 BERNAMA. All rights reserved.
This material may not be published, broadcast, rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Disclaimer.
Best viewed in Internet Explorer 4.0 & above with 800 x 600 pixels