Bernama.com
Am 08 Jun, 2010 16:51 PM
 
Ramai Pelabur Tertarik Dengan Projek Bandar Baru Tunjong Di Kelantan


KOTA BAHARU, 8 Mei (Bernama) -- Projek Bandar Baru Tunjong yang sedang dibangunkan di Kelantan menerima banyak permohonan dari pelabur seluruh negara yang berminat untuk turut terbabit dalam agenda memajukan kawasan itu.

Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata perkembangan positif itu merupakan langkah pertama ke arah merealisasikan hasrat kerajaan negeri menjadikan ia sebagai Bandar Islam Pintar terancang rapi yang dilengkapi infrastruktur terkini bagi menampung keperluan masa hadapan bandar Kota Baharu.

Beliau berkata projek itu dirangka oleh kerajaan negeri untuk menjadi sebuah pusat pembangunan baru di Kelantan yang merangkumi pusat pentadbiran kerajaan negeri dan persekutuan, pusat pengangkutan dan perkhidmatan, pusat komersial dan urus niaga serta kawasan kediaman serba moden.

"Kini Bandar Baru Tunjong sedang pesat dibangunkan dengan pembinaan beberapa bangunan kerajaan persekutuan dan penyertaan beberapa pelabur yang sudah mendapat kelulusan dalam proses pengambilan balik tanah," katanya ketika berucap di Majlis Menandatangani Perjanjian Projek Bandar Baru Tunjong antara Kerajaan negeri Kelantan, Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK), Tunjong Development Corporation Sdn Bhd (TDCSB) dan pelabur-pelabur di sini Selasa.

Sebelas syarikat memeterai perjanjian untuk membangunkan komponen Bandar Baru Tunjong pada majlis itu.

Nik Aziz berkata terdapat beberapa lagi pelabur yang berwibawa dari segi kewangan dan pengalaman dipilih untuk memajukan bandar baru itu, dan mereka dijangka akan menyertai usahasama itu dalam tempoh terdekat.

Sementara itu bercakap kepada pemberita selepas majlis itu, Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan Kelantan Datuk Husam Musa berkata sebuah pusat perkhidmatan automobil yang dikenali sebagai Autocity akan dibuka di kawasan itu tidak lama lagi.

"Autocity akan menempatkan pusat pameran, pusat servis dan pusat jualan kenderaan. Usaha ini bagi mengurangkan kesesakan di bandar Kota Baharu. Selain itu kerajaan negeri juga bercadang untuk mewujudkan medan selera khas yang tersusun di kawasan itu di samping membina kawasan kediaman yang moden bagi mengelak kawasan itu menjadi sunyi atau 'mati' pada waktu malam," katanya.

Selain itu katanya, kerajaan negeri masih mengalu-alukan penyertaan dari mana-mana syarikat swasta untuk turut sama membangunkan bandar baru itu agar ia menjadi satu pusat lonjakan ekonomi, seterusnya membuka peluang pekerjaan kepada penduduk kelantan.

Bandar yang meliputi kawasan seluas 800 hektar itu terletak kira-kira 5 kilometer dari pusat bandar Kota Baharu dan mula diusahakan pada Februari 2006.



-- BERNAMA
Copyright 2014 BERNAMA. All rights reserved.
This material may not be published, broadcast, rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Disclaimer.
Best viewed in Internet Explorer 4.0 & above with 800 x 600 pixels