Bernama.com
Am 29 Mei, 2010 19:47 PM
 
BSN Tawar 21,000 Hadiah Cabutan Sijil Simpanan Premium Tahun Ini



BSN Tawar 21,000 Hadiah Tahun Ini. Foto: Samsudin Mohamad

KUALA LUMPUR, 29 Mei (Bernama) -- Bank Simpanan Nasional (BSN) menawarkan 21,540 hadiah kepada para pemegang bagi setiap cabutan Sijil Simpanan Premium (SSP) sepanjang tahun ini.

Timbalan Ketua Eksekutif BSN (Perbankan Konsumer & Pembangunan Perniagaan) Yunos Abd Ghani berkata ia adalah bagi menggalakkan orang ramai menambah sijil simpanan serta menambah peluang mereka memenangi hadiah menerusi dua cabutan istimewa iaitu Cabutan Penghargaan dan Simpanan Tertinggi.

"Hadiah utama yang ditawarkan menerusi cabutan SSP ialah sebuah kereta BMW 523i Convertible serta pelbagai hadiah lain," katanya kepada pemberita pada majlis Cabutan SSP bulan Mei di sini.

Beliau berkata usaha itu juga selaras dengan misi kerajaan yang sentiasa menggalakkan amalan menabung dan menyimpan kerana ia secara tidak langsung dapat menjana pertumbuhan ekonomi negara dengan lebih berkesan. Yunos berkata sehingga 23 Mei lepas, jumlah SSP yang dilanggan ialah lebih 132 juta unit oleh 1.6 juta orang.

Pada majlis itu seorang petugas Tenaga Nasional Berhad (TNB) dari Kota Damansara, Noor Asihin Surani, 46, diumumkan sebagai pemenang sebuah kereta Toyota Camry menerusi cabutan SSP bagi bulan April.

-- BERNAMA
Copyright 2014 BERNAMA. All rights reserved.
This material may not be published, broadcast, rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Disclaimer.
Best viewed in Internet Explorer 4.0 & above with 800 x 600 pixels