Bernama.com
Am 18 Mei, 2010 16:21 PM
 
Temuduga Terbuka KPLSPM Bagi Pemohon Di Kawasan Pedalaman Sabah Dan Sarawak


KUALA LUMPUR, 18 Mei (Bernama) -- Buat pertama kalinya pemilihan calon bagi Kursus Perguruan Lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (KPLSPM) diadakan secara temuduga terbuka bagi memberi peluang kepada mereka terutama di pedalaman Sabah dan Sarawak yang tiada akses untuk memohon secara online.

Timbalan Menteri Pelajaran Dr Mohd Puad Zarkashi berkata temuduga telah diadakan hari ini di Sekolah Menengah Kebangsaan Bakun di Sungai Asap dan Pusat Kegiatan Guru Pejabat Pelajaran Daerah Marudi di Baram, Sarawak manakala di Sabah pula temuduga akan diadakan pada 24 Mei di Pejabat Pelajaran Daerah Nabawan, Pejabat Pelajaran Daerah Ranau dan Pejabat Pelajaran Daerah Pitas.

"Sebelum ini, kursus KPLSPM ini hanya boleh dipohon melalui talian, dan temuduga terbuka itu adalah projek rintis dalam usaha kerajaan merapatkan jurang pendidikan antara bandar dan kawasan pedalaman," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dijangkakan lebih 30 orang calon akan hadir di setiap tempat temuduga dan mereka akan menjalani tiga tahap ujian iaitu Inventori Sahsiah Keguruan (INSAK), Temuduga Kumpulan dan Temuduga Individu sebelum dipilih ditahap seterusnya,kata beliau.

-- BERNAMA
Copyright 2014 BERNAMA. All rights reserved.
This material may not be published, broadcast, rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Disclaimer.
Best viewed in Internet Explorer 4.0 & above with 800 x 600 pixels