Bernama.com
Am 12 Mei, 2010 14:50 PM
 
Jururawat Digesa Terap Elemen Kemahiran Insaniah Dalam Perkhidmatan


KUALA LUMPUR, 12 Mei (Bernama) -- Jururawat di negara ini digesa menjalankan tugas dengan lebih profesional, efisien, kompeten dan disertai dengan elemen kemahiran insaniah dalam memberi perkhidmatan kepada pesakit.

Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata jururawat harus mempraktikkan elemen berkenaan terutamanya kemahiran insaniah semasa bertugas, berikutan kebanyakan aduan diterima melibatkan masalah tersebut.

"Aduan yang kita terima daripada pesakit kebanyakannya mengenai kurangnya elemen 'soft skills' (kemahiran insaniah) ini, seperti jururawat kurang senyum, kurang layan dan sebagainya.

"Apabila konsep 10 'S' diperkenalkan baru-baru ini iaitu Senyum, Segera, Sensitif, Sopan, Segak, Selidik, Selia, Semangat, Salam dan Sentuh sedikit-sebanyak dapat mengurangkan aduan pesakit dan konsep ini didapati berkesan sehingga 95 peratus," katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis sambutan Hari Jururawat Antarabangsa 2010 di sini Rabu.

Turut hadir Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican dan Presiden Persatuan Jururawat Malaysia Matron Ramziah Ahmad.

Rosnah berkata sejajar dengan peranan jururawat di dalam pengawalan penyakit kronik, maka mereka harus meningkatkan kompetensi di dalam bidang pengkhususan dengan mengikuti kursus 'post basic' yang disediakan.

"Usaha juga sedang dijalankan bagi memastikan setiap jururawat yang mempunyai kursus ini layak untuk menerima insentif sebanyak RM100 sebulan berbanding hanya segelintir jururawat dalam pengkhususan tertentu sahaja mendapat insentif berkenaan sebelum ini," katanya.

Sempena sambutan Hari Jururawat hari ini, tiga jururawat iaitu Halimah Osman (pendidikan), Ajimah Hassan (komuniti) dan Sawiah Abdul Rahman (perkhidmatan) dianugerahi "Anugerah Tokoh Jururawat".



-- BERNAMA
Copyright 2014 BERNAMA. All rights reserved.
This material may not be published, broadcast, rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Disclaimer.
Best viewed in Internet Explorer 4.0 & above with 800 x 600 pixels