Bernama.com
Am 05 Mei, 2010 15:58 PM
 
LPKP Sabah Tawar Lesen Bas Mini Kepada Pengusaha 'Teksi Sapu'


KOTA KINABALU, 5 Mei (Bernama) -- Penawaran permit pengangkutan awam oleh Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Sabah kepada pengusaha 'teksi sapu' hanya tertumpu di kawasan luar bandar atau pekan kecil sahaja di mana aktiviti itu didapati berleluasa.

Bagaimanapun, program penawaran permit itu tidak tertakluk untuk kawasan bandar besar seperti Kota Kinabalu, Sandakan dan Tawau, kata Pengerusi LPKP Sabah, Ir Datuk Edmund Chong Ket Wah.

Katanya LPKP hanya akan menawarkan lesen pengangkutan bas mini kepada pengusaha 'teksi sapu' dan operasi laluan dihadkan dari pekan ke kampung di kawasan sekitar sahaja.

"Hasil aduan yang diterima, kebanyakan laluan daripada pekan ke kawasan kampung tidak mempunyai perkhidmatan pengangkutan yang mencukupi," katanya pada sidang akhbar di pejabat LPKP di sini pada Rabu.

Chong memperjelaskan kenyataan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong, Jumaat lepas, bahawa LPKP Sabah akan menawarkan permit perkhidmatan pengangkutan awam kepada pengusaha 'teksi sapu' di kawasan luar bandar di negeri itu.

Katanya kelonggaran itu dibuka kepada pengusaha 'teksi sapu' sepenuh masa yang beroperasi dengan menggunakan kereta dan van bagi membolehkan mereka menjalankan perkhidmatan secara sah mulai Isnin lalu.

Chong berkata operasi pemutihan akan dilaksanakan bulan ini bagi memastikan pengusaha menjalankan perkhidmatan secara sah serta merampas 'teksi sapu' yang beroperasi di bandar.

Program operasi pemutihan itu akan melibatkan pelbagai agensi seperti Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), polis, pihak berkuasa tempatan, majlis daerah dan Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR).

Ketika ini, terdapat kira-kira 2,500 kereta sapu yang menjalankan aktiviti di negeri itu dengan Lahad Datu mencatatkan jumlah terbanyak iaitu antara 500 dan 700 kenderaan.

-- BERNAMA
Copyright 2014 BERNAMA. All rights reserved.
This material may not be published, broadcast, rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Disclaimer.
Best viewed in Internet Explorer 4.0 & above with 800 x 600 pixels