Bernama.com
Am 23 April, 2010 00:49 AM
 
Kumpulan Pendahuluan Malbatt 2 Berangkat Ke Lubnan


SUBANG, 23 April (Bernama) -- Seramai 135 anggota dari Kumpulan Pertama iaitu Kumpulan Pendahuluan Pasukan Batalion Malaysia 2 (Malbatt 2) berangkat ke Lubnan Khamis bagi menjalankan misi Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNIFIL) selama sembilan bulan.

Kontinjen yang diketuai oleh Kol Mohd Nizam Jaafar selaku Komander Malbatt 2 itu ialah bagi menggantikan kontinjen Malbatt 1 yang berada di sana sejak 29 Julai lepas dan akan menamatkan misi mereka pada 29 April ini.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata Kumpulan Pendahuluan Malbatt 2 terdiri daripada 32 pegawai dan 103 anggota Lain-lain Pangkat (LLP) termasuk dua anggota daripada Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB).

"Keseluruhan anggota pasukan Malbatt 2 adalah 440 anggota daripada dua kumpulan iaitu kumpulan pendahuluan dan kumpulan induk. Kumpulan induk yang mempunyai 305 anggota akan berlepas pada 29 April ini," katanya dalam teks ucapan yang dibacakan oleh Panglima Angkatan Tentera Tan Sri Azizan Ariffin pada majlis penghantaran pasukan itu ke Lubnan di Pangkalan Tentera Diraja Udara di sini Khamis.

Turut hadir pada majlis itu ialah Ketua Setiausaha Pertahanan Datuk Seri Abu Bakar Abdullah dan Timbalan Panglima Darat Leftenan Jeneral Datuk Zulkifeli Mohd Zin yang mewakili Panglima Tentera Darat.

-- BERNAMA
Copyright 2014 BERNAMA. All rights reserved.
This material may not be published, broadcast, rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Disclaimer.
Best viewed in Internet Explorer 4.0 & above with 800 x 600 pixels