Bernama.com
Am 20 April, 2010 00:40 AM
 
Masa Untuk Pertimbangkan Semula Dasar Pandang Ke Timur, Kata Najib


TOKYO, 20 April (Bernama) -- Meskipun lebih 15,000 rakyat Malaysia telah memperoleh manfaat daripada Dasar Pandang ke Timur yang diperkenalkan kira-kira 28 tahun lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata sekarang mungkin masanya untuk mempertimbangkan semula dasar itu dan memperkenalkan bidang yang baru serta berinovasi.

Beliau berkata Malaysia dan Jepun berkongsi pandangan bahawa masanya sudah tiba untuk mempertimbangkan semula dasar itu bagi memperkenalkan bidang yang baru dan berinovasi seperti teknologi tercanggih, teknologi hijau, teknologi lestari dan bioteknologi serta bidang baru yang lain.

Najib turut menyambut baik kenyataan Perdana Menteri Jepun Yukio Hatoyama bahawa Malaysia dan Jepun perlu merealisasikan penubuhan sebuah institusi baru dalam bentuk Malaysia-Japan University yang akan melambangkan bukan sahaja hubungan dua hala kedua-dua negara tetapi peranan kepimpinan yang teguh yang dihasratkan oleh Jepun untuk dilaksanakan di Malaysia dan dalam lingkungan Asean.

"Kami percaya penubuhan dan pewujudan institusi seperti itu akan menjadi legasi berkekalan yang dapat Jepun tinggalkan demi pembangunan masa depan negara-negara Asean," katanya pada majlis jamuan rasmi yang dianjurkan oleh Hatoyama, di Pejabat Perdana Menteri, Sori Kantei, sempena lawatan rasmi pertama Najib ke Jepun, di sini Isnin malam.

Turut hadir ialah isteri Najib, Datin Seri Rosmah Mansor, isteri Hatoyama, Miyuki, dan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim, yang juga pemangku Menteri Luar, dan isteri Datin Seri Masnah Rais.

Najib, yang sedang melakukan lawatan rasmi empat hari ke Jepun bermula semalam, berkata mengenai konsep 1Malaysia, beliau telah menjelaskan kepada Hatoyama mengenai metafora "jika tuan membayangkan sebuah rumah, bumbung rumah itu melambangkan Satu Malaysia, yang membentuk falsafah kami untuk negara dan dua tonggak membentuk Program Transformasi Kerajaan dan Program Transformasi Ekonomi.

"... dan lantainya pula adalah Rancangan Malaysia Kesepuluh dan Kesebelas yang menyediakan sumber kewangan dan insentif untuk kami mencapai matlamat kami menjelang Tahun 2020.

"Dalam semangat 1Malaysia, kami dapat bergerak bersama-sama sebagai satu rakyat dan satu negara."

Perdana Menteri berkata dengan Jepun di bawah kepimpinan Hatoyama, hubungan dua hala antara Malaysia dan Jepun akan terus diperkukuhkan lagi.

"Saya mengharapkan sebuah era baru kerjasama dan kesepakatan yang lebih akrab antara Malaysia dan Jepun," katanya.

"Benar seperti yang dikatakan oleh Perdana Menteri Hatoyama bahawa jika anda mahu melakukan perubahan, akan ada sedikit kepayahan sebelum kita mendapat perolehan dan kita semua tahu bahawa kepayahan adalah segera namun perolehan pula datang kemudian.

"Namun kita perlu berpegang teguh jika kita mahu melakukan perubahan kepada negara kita dan mengubah negara kita untuk menjadi lebih bersatu, kuat dan makmur," katanya.

Najib berkata rakyat mesti teguh dalam iltizam mereka untuk terus melakukan perubahan agar matlamat akhir dapat direalisasikan.

"Jadi saya ucapkan selamat maju jaya kepada Perdana Menteri Hatoyama dalam perjalanan beliau (untuk melakukan perubahan kepada negaranya) dan saya berharap dapat berjumpa beliau di Malaysia pada masa depan," katanya.

-- BERNAMA
Copyright 2014 BERNAMA. All rights reserved.
This material may not be published, broadcast, rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Disclaimer.
Best viewed in Internet Explorer 4.0 & above with 800 x 600 pixels