Bernama.com
Am 17 April, 2010 17:56 PM
 
Terjemahkan Dasar "Dadah Musuh No.1 Negara" Dalam Bentuk Tindakan - Azizah


KUNAK, 17 April (Bernama) -- Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna Sabah Datuk Azizah Mohd Dun mahu rakyat di semua peringkat supaya menterjemahkan dasar "Dadah Musuh Nombor Satu Negara" dalam bentuk tindakan.

Beliau yang juga Pengerusi Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (Pemadam) Sabah berkata melalaui cara itu usaha kerajaan membasmi habis-habisan penyalahgunaan dadah di negara ini akan berhasil.

"Kita mesti membasmi gejala dadah ini habis-habisan secara bersama. Tugas ini bukan tugas kerajaan, Pemadam, badan bukan kerajaan, polis, Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) semata-mata tetapi semua rakyat tidak kira golongan.

"Anak-anak kita yang masih kecil ini perlu dijaga supaya tidak terjebak dengan dadah demi masa depan mereka," katanya kepada pemberita selepas merasmikan pelancaran Karnival Kunak 2010 bertemakan "1Malaysia Benci Dadah" anjuran bersama Pejabat Daerah Kunak, Pemadam, Jabatan Penerangan Kunak dan badan-badan bukan kerajaan di sini pada hari Sabtu.

Menurut Azizah masyarakat hari ini perlu memandang serius peranan mereka dalam usaha mencegah penyalahgunaan najis dadah berkenaan dengan menyumbang apa sahaja termasuk buah fikiran dan juga tenaga.

Katanya terlalu banyak peranan yang boleh dimainkan masyarakat termasuk ibu bapa untuk menjayakan kempen memerangi dadah ini seperti sentiasa memantau aktiviti anak-anak serta mengambil tahu dengan siapa mereka berkawan.

Menurut Azizah kegagalan masyarakat bekerjasama dan bergabung tenaga mencegah pengedaran dan penyalahgunaan dadah akan menyebabkan kerajaan mengeluarkan perbelanjaan besar setiap tahun untuk menangani masalah itu termasuk bagi tujuan pemulihan penagih.

-- BERNAMA
Copyright 2014 BERNAMA. All rights reserved.
This material may not be published, broadcast, rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Disclaimer.
Best viewed in Internet Explorer 4.0 & above with 800 x 600 pixels