Bernama.com
Am 09 April, 2010 22:24 PM
 
Najib Berlepas Ke Amerika Syarikat Untuk Lawatan Kerja


SEPANG, 9 April (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berlepas ke Amerika Syarikat Jumaat malam untuk lawatan kerja ke Washington dan New York bermula 10 hingga 16 April.

Najib, yang diiringi isteri Datin Seri Rosmah Mansor, berlepas dengan pesawat rasmi kerajaan kira-kira pukul 9.20 malam di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) di sini.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri, Puan Sri Norainee Abdul Rahman serta beberapa menteri kabinet antara kenamaan yang berada di lapangan terbang bagi mengucapkan selamat jalan kepada Perdana Menteri dan isteri.

Sempena lawatan itu, Najib dijadual menghadiri Sidang Kemuncak Mengenai Keselamatan Nuklear yang diadakan pada 12-13 April di Washington, atas jemputan Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama.

Perdana Menteri dijadual mengadakan mesyuarat dua hala dengan Obama di luar sidang kemuncak itu bagi membincangkan isu-isu hubungan dua hala, serantau dan antarabangsa.

Semasa lawatan itu juga, Najib dijangka mengadakan pertemuan dengan pegawai-pegawai kanan kerajaan Amerika, Anggota Kongres dan tokoh perniagaan Amerika.

Perdana Menteri dijadual menyampaikan ucaptama di Pusat Kajian Strategik dan Antarabangsa (CSIS) dan Sidang Kemuncak Perdagangan dan Pelaburan di Dewan Perniagaan Amerika di Washington serta menyampaikan ucapan pada jamuan tengah hari di Asia Society di New York.

Najib juga akan menyaksikan majlis menandatangani perjanjian persefahaman antara Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Stevens Institute of Technology (SIT) serta perjanjian antara Microsoft dan Hitech Padu.

Perdana Menteri turut dijadual melancarkan "Faces of Malaysia Showcase", satu program khas yang diadakan bertujuan mempromosikan Malaysia kepada khalayak Amerika serta mengukuhkan jalinan antara rakyat kedua-dua negara.

Lawatan Najib ke Amerika Syarikat itu, adalah yang kedua sejak beliau menjadi Perdana Menteri pada April tahun lepas.

Lawatan kerja pertama Perdana Menteri ke Washington dan New York ialah pada 22 hingga 25 Sept tahun lepas semasa beliau dalam perjalanan menghadiri Persidangan Ketua-Ketua Kerajaan Komanwel di Trinidad and Tobago.

Terdahulu, Najib dan isteri tiba di tanah air Jumaat petang selepas menghadiri Sidang Kemuncak Asean Ke-16 di Hanoi, Vietnam.

Perdana Menteri dan isteri, yang berada di Hanoi sejak Rabu lepas, tiba di Lapangan Terbang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang, kira-kira pukul 4.30 petang.

-- BERNAMA
Copyright 2017 BERNAMA. All rights reserved.
This material may not be published, broadcast, rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Disclaimer.
Best viewed in Internet Explorer 4.0 & above with 800 x 600 pixels