Bernama.com
Rencana 25 Mac, 2010 16:10 PM
 
Apa Perlunya Bagi Pilihan Raya Majlis Tempatan?


Analisis Oleh Azeman Ariffin

PULAU PINANG, 25 Mac (Bernama) -- Penjelasan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) bahawa ia tidak boleh mengendalikan pilihan raya majlis tempatan seperti yang diminta kerajaan negeri Pulau Pinang dan Selangor menamatkan polemik berhubung undi ketiga.

Pada Rabu, pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusuf menjelaskan bahawa ekoran pemansuhan Akta Kerajaan Tempatan 1960 (Akta 473), SPR ataupun pihak kerajaan negeri tidak mempunyai kuasa untuk mengendalikan pilihan raya majlis pihak berkuasa tempatan (PBT).

Seksyen 10 Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171) menyatakan bahawa keanggotaan dalam mana-mana majlis PBT ialah menerusi pelantikan sahaja.

"Bukan sebab SPR tidak mahu menjalankan pemilihan tetapi undang-undang yang ada tidak membolehkan pilihan raya itu diadakan dan jika negeri-negeri di Semenanjung, termasuk Pulau Pinang dan Selangor, bercadang mengadakan semula pilihan raya PBT, suatu keputusan dasar hendaklah dibuat terlebih dahulu," kata beliau pada sidang akhbar mengenainya.

Sementara Abdul Aziz memberi alasan beliau berasaskan kepada undang-undang, wujud persoalan dari awal lagi sama ada pemilihan PBT ini wajar, dalam konteks semasa.

PEMILIHAN MASIH RELEVAN

Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng yang membuat cadangan itu memberi alasan ia akan membantu memindahkan balik kuasa kepada rakyat dan mempertingkat keupayaan pentadbiran PBT sementara Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pula khuatir yang ia akan membuka laluan bagi politiking yang lebih banyak seperti terbukti dalam sejarah.

Sejarah pemilihan majlis tempatan menunjukkan mengapa undi ketiga ini, selepas undi bagi Dewan Undangan Negeri dan Parlimen dimansuhkan.

Pulau Pinang ialah negeri pertama mengadakan pemilihan majlis tempatan atau pilihan raya perbandaran pada 1951 oleh kerana negeri itu mewujudkan kerajaan tempatan seawal 1856 - Majlis Perbandaran George Town (MCGT).

Pada 1952, Selangor merupakan negeri kedua yang mengadakan pilihan raya majlis perbandaran ekoran penubuhan Persekutuan Tanah Melayu pada 1948.

Presiden Persatuan Melayu Pulau Pinang Datuk Seri Yusof Latiff berkata pilihan raya perbandaran itu semata-mata untuk memberikan pengalaman dan mendedahkan warga tempatan kepada sistem politik yang bakal diwarisi daripada Britain.

Sememangnya pilihan raya itu mencetuskan suasana kemeriahan selain menampilkan pelbagai parti politik dan tokoh, tetapi kehebatannya berkurangan dengan kemunculan pilihan raya umum.

PERTINDIHAN KUASA

Pada 1955, Perikatan memenangi pilihan raya umum terulung di negara ini dan Pulau Pinang membentuk kerajaan yang diketuai MCA dengan Tan Sri Wong Pow Nee sebagai ketua menteri pertama.

Sedekad selepas itu, pada 1965, pilihan raya perbandaran digantung sementara ekoran Konfrontasi Malaysia-Indonesia dan peranan majlis perbandaran diletakkan di bawah kerajaan negeri.

Sistem politik ketika itu mengalami sedikit kecelaruan apabila pada suatu ketika Barisan Sosialis menguasai pentadbiran Majlis Bandar Raya George Town walaupun pentadbiran negeri dikuasai Parti Perikatan.

Yusof berkata wujud dua jawatan eksekutif utama Datuk Bandar dan Ketua Menteri ketika itu yang tidak sehaluan antara satu sama lain dan ia menyukarkan kerja-kerja pentadbiran kerajaan

Yusof, bekas ketua bahagian UMNO Jelutong, menceritakan bagaimana Dewan Bandaraya tidak mengendahkan Ketua Menteri Malaya atau Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj dan kerajaan negeri Pulau Pinang berhubung sambutan Hari Bebas Darurat pada 31 Julai 1960.

"Tunku mahukan semua bangunan kerajaan dihiasi dengan lampu dan bendera dinaikkan bagi sambutan pengisytiharan itu tetapi Majlis Bandaraya enggan berbuat demikian dan tidak mengiktraf sambutan itu," katanya.

Keingkaran Majlis itu menyebabkan Wong mengadakan persidangan khas Dewan Undangan Negeri bagi meminda ordinan negeri untuk memberi kuasa kepada Ketua Menteri melantik Datuk Bandar George Town.

Menyedari masalah ini dan juga dua jawatan eksekutif ini akan menyebabkan pertindihan kuasa, Pemuda Umno Pulau Pinang menghantar pestisyen kepada Tunku supaya pilihan raya majlis tempatan dimansuhkan.

SENARIO YANG SUKAR

Ketika itu sudahpun ada desakan supaya ia dimansuhkan dan ini menyebabkan Tunku mewujudkan sebuah suruhanjaya diraja untuk mendapat maklumat balas sama ada perlu untuk meneruskan dengan pilihan raya perbandaran itu.

Suruhanjaya ini yang diketuai Naib Presiden MIC Athi Nahappan menjelajah seluruh negara untuk mendapatkan maklumat balas dan memutuskan bahawa walaupun pilihan raya majlis tempatan menyumbang kepada proses demokratik, pilihan raya umum perlu diberi keutamaan.

Seterusnya, pada 1970 pilihan raya perbandaran dimansuhkan dan George Town kehilangan status bandar raya selepas Ketua Menteri kedua Pulau Pinang (Tun) Dr Lim Chong Eu membubarkan majlis bandar raya dan menggantikannya dengan Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) untuk mentadbir keseluruhan pulau.

APA GUNA KEMBALIKAN PILIHAN RAYA MAJLIS TEMPATAN?

Ketiadaan pilihan raya tempatan tidak sedikitpun menjejaskan proses demokrasi di negara ini. Ia sebenarnya menyingkirkan sesuatu yang musykil dan mengurangkan `politiking'. Ia sebahagian daripada kematangan demokratik dan politik negara ini. Apa-apa usaha untuk mengembalikan pilihan raya PBT ini boleh dianggap sebagai langkah ke belakang.

Jika begitu, mengapa pula kerajaan negeri Pulau Pinang dan Selangor pimpinan PKR mahu mengembalikan pilihan raya ini?

Walaupun mereka menyedari baik buruk di sebalik pilihan raya ini, PKR mahu meneruskan dengannya memandangkan parti itu telah menjanjikan agenda ini dalam manifestonya semasa pilihan raya yang lepas.

Pensyarah Sains Politik dari Universiti Sains Malaysia (USM) Dr Sivamurugan Pandian berkata kerajaan negeri sepatutnya menjalankan kajian mendalam mengenai kehendak rakyat dan bukannya menjadikan cadangan untuk pilihan raya PBT sebagai modal politik.

Katanya kerajaan harus meminta pandangan daripada rakyat sama ada mereka mahukan pilihan raya PBT diadakan atau sebaliknya.

"Persoalan yang harus dijawab ialah apakah yang mahu dicapai jika pilihan raya perbandaran ini dilaksanakan dan adakah ia boleh diimbangi dengan pilihan raya umum?" soal beliau.

Sebelum SPR memberi penjelasan ini Yusof telah pun meramalkan yang cadangan kerajaan negeri Pulau Pinang dan Selangor ini tidak akan berhasil kerana kajian yang dijalankan sebelum ini untuk mengembalikan pilihan raya itu menunjukkan tiada kewajaran baginya.

"Lagipun, pilihan raya majlis tempatan tidak dimansuhkan tanpa alasan munasabah, kajian mendialam telah dijalankan mengenainya tetapi mengapa pula negeri-negeri mahu menghidupkan semula pilihan raya PBT ini," tanya beliau.

Susulan kepada penjelasan oleh SPR, Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng dan Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim akan meneroka laluan lain untuk mengadakan pilihan raya PBT ini tetapi persoalannya ialah sama ada kita benar-benar memerlukan pilihan raya itu sedangkan sistem sedia ada selama ini memenuhi aspirast rakyat.

-- BERNAMA
Copyright 2014 BERNAMA. All rights reserved.
This material may not be published, broadcast, rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Disclaimer.
Best viewed in Internet Explorer 4.0 & above with 800 x 600 pixels