Bernama.com
Rencana 25 Mac, 2010 13:13 PM
 
Cuti Di Resort Tepi Laut Atau Santai Di Taman Tema?


Oleh Hazlinda Hamzah

KUALA LUMPUR, 25 Mac (Bernama) -- Bercuti hujung minggu ke destinasi dalam negeri untuk masa yang berharga bersama keluarga? Itu sesuatu yang sangat diingini apatah lagi pada hujung minggu yang bersambung dengan cuti umum pada hari Jumaat atau Isnin berikutnya.

Ada yang memilih untuk hanya menikmati beberapa jam bersama keluarga di taman-taman tema. Terdapat beberapa taman tema yang amat sesuai untuk dikunjungi.

Selain daripada Bukit Gambang Resort City di Kuantan, Pahang yang merupakan taman tema terbaru menyertai taman-taman tema di negara ini, ada juga yang lain sesuai untuk dikunjungi.

Di Lembah Klang saja terdapat beberapa taman tema seperti Sunway Lagoon di Bandar Sunway, Subang Jaya dan Desa Water Park di Jalan Klang Lama. Dengan hanya beberapa jam perjalanan ke utara, pula Bukit Merah Laketown Resort di Taiping, Perak menggamit pengunjung.

Begitu juga beberapa taman tema 'wetworld' yang wujud di beberapa negeri.

LAWATAN KE TAMAN TEMA

Baru-baru ini penulis berkesempatan mengunjungi sebuah taman tema di Lembah Klang dan terpaksa 'mengorbankan' RM370 bagi tiket masuk untuk empat orang dewasa serta tiga kanak-kanak (termasuk deposit RM10 bagi 'gelang tangan' bukti kemasukan setiap seorang).

Harga tiket untuk masuk ke dua taman (basah dan kering) ialah RM48 bagi dewasa dan RM36 bagi kanak-kanak bawah 11 tahun. Ia merupakan keistimewaan bagi penduduk tempatan yang mempunyai MyKad.

Tetapi terdengar juga rungutan tentang harga tiket serta makanan yang memang mahal di taman tema berkenaan.

Menurut suri rumah dari Shah Alam, yang hanya mahu dikenali sebagai Hanim: "Saya ke sini cuma kerana tiket ditaja oleh majikan suami. Bagi saya harga makanan dijual dalam taman tema ini sangat tinggi. Bayangkan sebungkus mi goreng berharga RM10!"

"Apa yang buat saya tidak puas hati ialah pelawat tidak dibenarkan membawa masuk makanan dari luar. Harga di sini memang sangat mahal sedangkan anak-anak perlu makan selepas mandi-manda dan bermain."

Penulis memang setuju dengan luahan perasaan Hanim, kerana beliau sendiri terpaksa berbelanja RM120 untuk makanan dan minuman keluarganya ketika di dalam taman tema itu.

Seorang pelawat lain, Annie (bukan nama sebenar) juga meluahkan kekesalan yang mempunyai nada sama.

Kata beliau: "Harga bagi sebotol air mineral 500 ml (botol kecil) keluaran tempatan dijual RM3. Ini jauh lebih tinggi daripada apa yang dijual di stesen minyak. Kenapa sebegitu mahal?"

RESORT TEPI PANTAI

Sementara itu, ada juga yang memilih untuk bercuti pada hujung minggu di resort yang juga mempunyai kolam renang bagi kemudahan anak-anak mereka mandi-manda.

Kosnya hampir sama ataupun mungkin lebih sedikit jika dibandingkan dengan harga yang perlu dibayar untuk berada sehari suntuk di taman tema.

Antara resort yang tidak begitu 'sibuk' dan juga terletak tidak jauh dari pantai ialah di Km 16 (Batu 10), Jalan Pantai, Teluk Kemang, Port Dickson.

Lokasi ini memang terkenal dengan apa yang dipanggil penduduk tempatan sebagai 'Tanjung Biru ' (Blue lagoon).

Penulis yang berpeluang menginap di resort ini mendapati, ia berdekatan dengan hutan simpan di Tanjung Tuan (Cape Rachado), yang popular dengan aktiviti melihat burung pemangsa.

Ramai tetamu dari bandar-bandar berdekatan serta tidak kurang juga dari Singapura yang menginap di resort ini. Resort yang menawarkan apartmen satu hingga tiga bilik ini juga kerap ditempah untuk seminar dan kursus latihan oleh badan-badan kerajaan serta korporat.

Kos menginap di apartmen resort ini ialah dari RM300 dan RM640, bergantung pada jumlah bilik dan juga keluasan serta sama ada pada musim puncak atau sebaliknya.

MAKANAN

Baucar untuk sarapan pagi secara bufet disediakan untuk dua tetamu dari setiap bilik di apartmen manakala harga minuman serta makanan lain berpatutan.

Kemudahan di resort ini diselia dengan baik. Terdapat pintu untuk keluar menuju pantai yang menyediakan beberapa aktiviti bagi pengunjung resort.

Juga terdapat kolam renang di tengah-tengah blok apartmen dan dapat dilihat terus dari balkoni setiap apartmen. Ini amat sesuai bagi ibu bapa yang mempunyai anak yang mahu bersantai berjam-jam lamanya di kolam mandi kerana mereka dapat memantau dari balkoni apartmen masing-masing.

Tourism Malaysia memang menggalakkan penduduk tempatan melancong di negara sendiri tetapi destinasi pelancongan dalam negara seperti taman tema, resort dan juga hotel diharap dapat menawarkan pakej percutian yang sesuai dan berpatutan dari segi harga dan juga perkhidmatan serta kemudahan.

Bayangkan rakyat Malaysia seramai 28 juta orang merupakan pelanggan yang 'sedia ada' bagi melawat atau menginap di destinasi-destinasi ini.

Kehadiran mereka akan menjamin pulangan serta perkembangan perniagaan untuk resort-resort serta taman tema di negara ini.

-- BERNAMA
Copyright 2014 BERNAMA. All rights reserved.
This material may not be published, broadcast, rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Disclaimer.
Best viewed in Internet Explorer 4.0 & above with 800 x 600 pixels