Bernama.com
Am 11 Mac, 2010 16:07 PM
 
Operasi Tabung Haji Dijangka Dipindah Ke Sepang 2013


SEPANG, 11 Mac (Bernama) -- Fungsi dan peranan Kompleks Tabung Haji (TH) di Kelana Jaya, Selangor akan dipindahkan ke sini apabila kompleks baru yang akan dibina di sini siap nanti.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mejar Jeneral (B) Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata dengan peruntukan RM303 juta, kompleks baru itu akan dibina di atas tanah seluas 0.16 hektar berdekatan dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), dan ia dijangka siap pada 2013 nanti.

"Ia merupakan satu mercu tanda baru. Kerajaan berhasrat ingin mantapkan dan percepatkan lagi proses pengurusan jemaah haji," katanya kepada pemberita selepas Majlis Pecah Tanah kompleks itu di sini Khamis.

Beliau berkata kompleks baru itu menjanjikan keselesaan yang maksimum dengan menyediakan ruang yang lebih luas berbanding kompleks di Kelana Jaya yang mempunyai keluasan yang agak terhad dan mengakibatkan kesesakan pada musim-musim haji.

Selain itu katanya, kompleks baru itu juga terletak berhampiran dengan masjid dan mempunyai jarak perjalanan ke KLIA yang singkat, malah lokasinya juga mudah dicari oleh mereka yang datang dari seluruh negara.

Selain hotel bertaraf empat bintang dengan sekurang-kurangnya 300 bilik untuk kegunaan jemaah pada musim haji, Jamil Khir berkata kompleks itu juga akan dilengkapi dengan pelbagai kemudahan dan infrastuktur termasuk dewan serbaguna, galeri haji, pejabat pentadbiran, pusat konvensyen dan seminar, pusat sukan serta cawangan TH daerah dan cawangan Bank Islam.

Beliau berkata kemudahan-kemudahan di kompleks itu juga tidak hanya tertakluk untuk kegunaan urusan haji yang hanya dijalankan sekali setahun, tapi juga untuk sewaan oleh pihak-pihak luar sepanjang tahun.

"Kami akan wujudkan juga pusat-pusat perniagaan sebagai pusat sehenti di mana barang-barang keperluan haji, cenderahati, dan mungkin makanan dan barang-barang dari Arab seperti buah kurma dan air zam-zam akan di tempatkan di sini," katanya.

Jamil Khir berkata bentuk kompleks itu yang menampilkan ciri-ciri senibina Islam moden.

"Kalau bangunan TH di Kelana Jaya sehingga hari ini masih menjadi bentuk bangunan yang unik dan mudah diingati, kami mengharapkan bangunan ini kompleks baru nanti juga akan termasuk dalam senarai keunikan kesenian pembinaan Islam yang moden yang dilahirkan oleh TH," katanya.

Terdahulu dalam ucapannya Jamil Khir berkata kompleks TH di Kelana Jaya bagaimanapun tidak akan diabaikan begitu sahaja setelah operasinya dipindahkan ke sini, malah pelbagai rancangan sedang diatur bagi menaik taraf kompleks itu sebagai sumber pendapatan kepada TH.



-- BERNAMA
Copyright 2014 BERNAMA. All rights reserved.
This material may not be published, broadcast, rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Disclaimer.
Best viewed in Internet Explorer 4.0 & above with 800 x 600 pixels