Bernama.com
Am 09 Februari, 2010 22:02 PM
 
Semak Status NCD Secara Percuma Dalam Talian


KUALA LUMPUR, 9 Feb (Bernama) -- Pemilik kenderaan kini boleh memeriksa status Diskaun Tanpa Tuntutan atau 'Non Claim Discount' (NCD) bagi polisi insuran kenderaan masing-masing menerusi talian (online) secara percuma.

Perkhidmatan tersebut ditawarkan oleh Insurance Service Malaysia (ISM) sejak 1 Jan lalu, kata Ketua Pegawai Eksekutifnya Carl Rajendram.

Katanya perkhidmatan dalam talian itu membolehkan pemilik kenderaan menyemak status NCD masing-masing, sekaligus mengelak kemungkinan berlaku penipuan yang sering berlaku sebelum ini.

NCD adalah skim ganjaran kepada pemegang polisi apabila mereka tidak membuat tuntutan bagi polisi tersebut dalam tempoh 12 bulan sebelum ini.

Kadar NCD boleh mencecah sehingga 55 peratus daripada nilai premium bagi kereta persendirian dan sehingga 25 peratus bagi pemilik motosikal.

Sebelum ini, pemilik kenderaan sering diminta membuat bayaran penuh untuk memperbaharui polisi insurans kenderaan sebelum peratusan kelayakan NCD disemak oleh syarikat insurans.

"Dengan adanya sistem dalam talian ini, pemilik kenderaan boleh menyemak sendiri status NCD mereka dengan pantas tanpa bergantung kepada syarikat insurans," kata Carl pada sidang akhbar ketika melancarkan laman web NCD yang boleh diakses di www.ism.net.my, di sini, hari Selasa.

Pada majlis sama, ISM juga memperkenalkan "Buku Hijau" iaitu buku panduan harga kereta terpakai di Malaysia berdasarkan penyelidikan bebas harga pasaran.

Buku panduan itu mengandungi senarai menyeluruh lebih 8,000 jenis dan model kereta yang boleh menjadi panduan kepada orang awam.

Buku tersebut juga sebagai pelengkap kepada sistem penilaian kereta secara dalam talian yang disediakan oleh sayap ISM, Automotive Business Intelligence (ABI).

Carl berkata buku itu, yang diterbitkan setiap suku tahun sekali, akan menjadi bahan rujukan berguna bagi peniaga kereta, pihak insurans, bank serta pengguna.

"Tujuan kami adalah untuk melengkapkan pengguna dengan maklumat supaya proses membeli dan menjual kenderaan adalah lebih telus," katanya.

-- BERNAMA
Copyright 2014 BERNAMA. All rights reserved.
This material may not be published, broadcast, rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Disclaimer.
Best viewed in Internet Explorer 4.0 & above with 800 x 600 pixels