Bernama.com
Ekonomi 14 Januari, 2010 17:40 PM
 
STDC Bangunkan Bandar Sejahtera Pokok Sena Bernilai RM230 Juta


ALOR SETAR, 14 Jan (Bernama) -- Seri Temin Development Corporation (M) Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK) akan membangunkan sepenuhnya Bandar Sejahtera Pokok Sena bernilai RM230 yang dijangka siap pada 2017.

Projek perumahan bercampur berasaskan mampu milik untuk kesejahteraan rakyat di kawasan 200 ekar di Pokok Sena, kira-kira 15 kilometer dari sini, dilancarkan Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak, Khamis.

Menurut Azizan projek itu dilancarkan bagi menampung permintaan terhadap rumah mampu milik dan bermatlamat setinggan sifar di kawasan pinggiran dan bandar di Kedah.

"Projek Bandar Sejahtera Pokok Sena ialah yang pertama, mengandungi 1,811 unit pelbagai jenis rumah dan dibangunkan mengikut fasa," katanya kepada pemberita selepas pelancaran projek itu.

Harga rumah teres dua tingkat fasa pertama yang ditawarkan serendah RM140,000. Sebanyak 128 unit fasa itu bagaimanapun telah habis ditempah.

Projek itu mengandungi 785 unit rumah teres dua tingkat, rumah teres kos rendah (579 unit), rumah berkembar setingkat (246 unit), rumah teres satu setengah tingkat (192 unit) dan rumah banglo (9 unit).

Azizan yang juga pengerusi PKNK berkata: "STDC komited menyediakan persekitaran kediaman yang sihat dan berkepadatan rendah untuk memenuhi permintaan manakala reka bentuknya menerapkan ciri-ciri tempatan."

STDC dalam kenyataannya pula berkata perancangan teliti dibuat supaya harga rumah yang ditawarkan mampu dimiliki setiap lapisan masyarakat dalam suasana ekonomi yang masih lembab dan memberi kesan terhdap sektor hartanah.

"Kami tetap melaksanakan tanggungjawab sosial agar setiap rakyat Kedah dapat memiliki rumah sendiri selain berusaha menyuntik nilai tambah bagi setiap produk supaya ia memberi pulangan terbaik kepada pembeli dan pelabur," katanya dalam kenyataan itu.

-- BERNAMA


Copyright 2014 BERNAMA. All rights reserved.
This material may not be published, broadcast, rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Disclaimer.
Best viewed in Internet Explorer 4.0 & above with 800 x 600 pixels