Bernama.com
Am 11 Januari, 2010 21:49 PM
 
Kepolisan Berprofil Tinggi Akan Dilaksana Bagi Kurangkan Jenayah


KUALA LUMPUR, 11 Jan (Bernama) -- Polis Diraja Malaysia akan melaksanakan program Kepolisan Berprofil Tinggi sebagai satu daripada inisiatif untuk mengurangkan kadar jenayah terutama jenayah jalanan seperti yang disasar di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA).

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata melalui program itu, pegawai kanan polis dikehendaki bersama-sama anggota di barisan hadapan menjalankan tugas 'tinjauan' serta 'berjumpa dan menyapa' orang awam di tempat dan masa yang ditetapkan secara sistematik.

"Walkabout (tinjauan) merangkumi tugas-tugas kepolisan seperti bit dan rondaan manakala meet and greet (berjumpa dan menyapa) ialah interaksi bersemuka antara polis dan masyarakat secara konstruktif," katanya kepada pemberita sebelum meninjau penugasan anggota Rela dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) di Balai Polis Bergerak Hentian Puduraya di sini Isnin.

Beliau berkata kehadiran polis secara kerap dapat mengekang kejadian jenayah dan kini pihaknya sedang giat menambah kehadiran polis di kawasan panas yang kerap berlaku jenayah di seluruh negara.

Anggota Rela dan JPAM turut dilatih khas sebagai Sukarelawan Simpanan Polis (SSP) bagi bersama-sama membantu polis dalam memastikan matlamat mengurangkan kadar jenayah jalanan tercapai, katanya.

"Hari ini, seramai 1,042 anggota Rela dan 491 anggota JPAM lagi ditempatkan di 50 lokasi panas yang dikenalpasti di empat negeri iaitu Kuala Lumpur, Selangor, Johor dan Pulau Pinang," katanya.

Hishammuddin berkata kadar jenayah yang dicatat di 50 kawasan panas di seluruh negara semakin menurun dan ini membuktikan langkah yang diambil pihak berkuasa dalam membanteras kegiatan jenayah di kawasan panas itu berkesan.

Beliau berkata balai yang paling tinggi mencatat jenayah jalanan di 50 kawasan panas ialah Balai Polis Tun HS Lee di Kuala Lumpur diikuti Balai Polis Sentral Johor, Balai Polis Tampoi Johor, Balai Polis Cheras dan Balai Polis Klang.

"Kadar laporan di Balai Polis Tun HS Lee di Kuala Lumpur pada November dan Disember lepas menunjukkan penurunan berbanding tahun sebelumnya.

"Pada November 2008 sebanyak 105 kes jenayah jalanan dilapor dan jumlah itu meningkat kepada 145 kes pada Disember 2008 manakala pada November 2009 sebanyak 143 kes dilapor dan ia menurun kepada 102 kes pada Disember," katanya.



-- BERNAMA
Copyright 2017 BERNAMA. All rights reserved.
This material may not be published, broadcast, rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Disclaimer.
Best viewed in Internet Explorer 4.0 & above with 800 x 600 pixels