Bernama.com
Am 11 Januari, 2010 16:11 PM
 
Peningkatan Membimbangkan Jumlah Pesakit Diabetes Di Malaysia


KUALA LUMPUR, 11 Jan (Bernama) -- Jumlah pesakit diabetes atau kencing manis di negara ini mencatatkan peningkatan hampir 80 peratus kepada 1.4 juta penduduk dewasa berumur 30 tahun ke atas dalam tempoh 10 tahun dari 1996-2006.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican berkata apa yang membimbangkan ialah hampir 36 peratus daripada mereka tidak didiagnosis, menyebabkan mereka mengalami komplikasi kemudiannya dan memerlukan rawatan lebih intensif yang menimbulkan bebanan kepada perkhidmatan kesihatan.

Dalam ruangan bulanan beliau dalam buletin berita Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), beliau berkata gaya hidup merupakan faktor utama mempengaruhi peningkatan jumlah pesakit diabetes di negara ini.

Beliau berkata perubahan gaya hidup seperti mengurangkan berat badan, pemakanan seimbang dan peningkatan aktiviti fizikal dapat membantu mengawal penyakit ini.

Dr Ismail berkata obesiti merupakan satu lagi trend di Malaysia, ekoran Kajian Kesihatan dan Morbiditi Negara pada 2006, menunjukkan jumlah mereka yang obes mencatatkan peningkatan hampir 200 peratus bagai tempoh 10 tahun dari 1996.

"Trend ini amat membimbangkan kerana obesiti kekal menjadi punca utama kepada penyakit diabetes, khususnya di kalangan penduduk negara ini," katanya.

Beliau berkata kementerian baru-baru ini melancarkan garis panduan amalan klinikal bagi penyakit diabetes iaitu "Clinical Practice Guidelines: Management of Type 2 Diabetes Mellitus & Acute" bagi penyedia penjagaan kesihatan.

Katanya inisiatif Kementerian Kesihatan itu bertujuan meningkatkan pengurusan dan kawalan diabetes di kalangan pesakit termasuk memperkenalkan ujian glukos dalam darah (HbA1c) dan kad diabetes bagi pemantauan berterusan.

Inisiatif untuk pemeriksaan komplikasi diabetes termasuk menyediakan kit pemeriksaan albumin di hospital dan pusat kesihatan.

Dr Ismail berkata kerajaan memperuntukkan RM7 juta pada tahun lepas bagi pengurusan diabetes dan hypertensi di hospital yang digunakan untuk membeli ubat baru dan kit pemeriksaan.

-- BERNAMA


Copyright 2014 BERNAMA. All rights reserved.
This material may not be published, broadcast, rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Disclaimer.
Best viewed in Internet Explorer 4.0 & above with 800 x 600 pixels