Bernama.com
Am 09 Januari, 2010 15:33 PM
 
10 Projek Perumahan Rakyat Dengan 9,631 Unit Di Sabah Siap Setakat Ini


KOTA KINABALU, 9 Jan (Bernama) -- Sebanyak 10 projek Program Perumahan Rakyat (PPR) merangkumi 9,631 unit rumah telahpun siap dilaksanakan di Sabah oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan setakat ini.

Menteri berkenaan Datuk Seri Kong Cho Ha berkata ini merupakan antara 24 projek PPR yang telah dan sedang dilaksanakan di Sabah oleh Jabatan Perumahan Negara dengan jumlah keseluruhan 18,289 unit rumah melibatkan peruntukan kira-kira RM1.2 bilion.

"Jadi masih ada 14 projek lagi dalam pembinaan. Ada yang siap tahun ini, ada tahun depan dan ada dalam peringkat perancangan lagi," katanya ketika ditanya mengenai baki projek-projek itu dijadual siap.

Kong berkata sedemikian kepada pemberita selepas melawat satu projek PPR di Kampung Kiansom, Inanam dekat sini.

Katanya kerajaan sememangnya prihatin tentang keperluan menyediakan kemudahan rumah untuk rakyat miskin di Sabah, tapi pada masa sama kerajaan memerlukan kawasan dan tapak sesuai untuk melaksanakan projek PPR.

Mengenai projek PPR merangkumi 1,000 unit rumah pangsa untuk disewa di Kampung Kiansom itu, Kong berkata kementerian terpaksa melantik kontraktor baru Ogos tahun lepas ekoran kegagalan kontraktor asal menyiapkan projek mengikut jadual ditetapkan.

Projek melibatkan kos kira-kira RM50 juta bermula pada 2003, asalnya dijadual siap pada Januari 2006 tetapi diberi lanjutan beberapa kali sehingga Februari 2008 apabila ia gagal disiapkan menyebabkan kontrak kerja kontraktor itu ditamatkan.

Berdasarkan taklimat yang diberikan, Kong yakin projek itu dapat disiapkan mengikut jadual pada Ogos 2011.

Terdahulu, Kong turut melawat dua unit rumah rakyat miskin di Kampung Kalansanan dekat sini dan menghadiri jamuan makan tengahari bersama pemimpin masyarakat tempatan dan bomba sukarela.

-- BERNAMA
Copyright 2014 BERNAMA. All rights reserved.
This material may not be published, broadcast, rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Disclaimer.
Best viewed in Internet Explorer 4.0 & above with 800 x 600 pixels