Bernama.com
Am 18 Disember, 2009 17:09 PM
 
Hari Terbuka GTP Mendapat Pujian Pengunjung


PETALING JAYA, 17 Dis (Bernama) -- Hari Terbuka Program Transformasi Kerajaan (GTP) di Pusat Konvensyen Sunway di sini menerima sambutan menggalakkan daripada orang ramai yang mengunjunginya.

Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) Lok Yim Pheng berkata hari terbuka itu menawarkan peluang terbaik kepada orang ramai untuk lebih memahami projek dan idea kerajaan.

"Ini adalah saluran terbaik untuk orang ramai betul-betul faham apa yang kerajaan buat dan pada masa sama menyuarakan pendapat mereka," katanya.

Hari terbuka yang bermula pada Khamis, akan berakhir pada pukul 5.30 petang Jumaat.

Beliau berkata hari terbuka itu menyediakan "saluran dua hala" untuk kerajaan dan orang ramai, terutama bagi akar umbi mengetahui pelaksanaan projek yang dilaksana kerajaan.

"Adalah mustahil untuk memberi pengetahuan kepada semua orang dan hari terbuka ini menawarkan peluang terbaik kepada orang ramai untuk memahami mengenai apa itu Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA)," katanya kepada pemberita selepas melawat pameran itu pada Jumaat.

Beliau turut mencadangkan agar hari terbuka itu dilanjutkan lebih lama untuk membolehkan lebih ramai di kalangan masyarakat, terutama generasi muda untuk datang dan memahami usaha kerajaan.

Lebih 7,000 aktiviti di seluruh negara bersama lebih 2,000 projek dan 100 program dikenalpasti untuk enam NKRA -- jenayah, rasuah, infrastruktur asas luar bandar, pendidikan, pengangkutan awam bandar dan meningkatkan taraf kehidupan --di pamer kepada orang ramai pada Hari Terbuka GTP pada Pusat Konvensyen Sunway.

Sementara itu, Anggota Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua berkata tidak dinafikan bahawa Unit Pelaksanaan dan Pengurusan Prestasi (PEMANDU) yang diketuai ketua pegawai eksekutifnya Datuk Seri Idris Jala telah menjalankan tugas dengan baik.

"Terdapat banyak idea bernas dilahirkan oleh makmal dalam enam NKRA seperi pendidikan dan jenayah," katanya kepada pemberita di sini.

"Bagaimanapun, masih terdapat ruang untuk penambahbaikan kerana idea itu tidak lengkap sebagaimana yang diakui pasukan itu sendiri," katanya.

Bekas ketua setiausaha kementerian pengangkutan Tan Sri Dr Ramon Navaratnam berkata idea yang dicadangkan oleh enam makmal berkenaan dibentang dengan baik pada hari terbuka itu.

"Orang ramai boleh lebih memahami mengenai apa yang dilaksanakan kerajaan mengenai NKRA," katanya sambil menambah secara peribadi beliau berharap aktiviti dan projek yang dibentang itu dilaksana.

"Dalan usaha untuk melaksana projek itu, sebagai contoh mengurangkan rasuah di kalangan masyarakat Malaysia, kita perlu kedua-dua pihak berkuasa dan akar umbi untuk bekerjasama menyokong idea itu," katanya.

Beliau turut mencadangkan projek dan aktiviti itu yang dibentang pada hari terbuka dilaksanakan oleh kerajaan secepat mungkin.

-- BERNAMA
Copyright 2017 BERNAMA. All rights reserved.
This material may not be published, broadcast, rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Disclaimer.
Best viewed in Internet Explorer 4.0 & above with 800 x 600 pixels