Bernama.com
Rencana 16 Disember, 2009 10:15 AM
 
Khidmat Komuniti Satu Cara Kehidupan


Oleh Zulkiple Ibrahim

KUALA LUMPUR, 16 Dis (Bernama) -- Baru- baru ini, seramai 2,500 orang kurang upaya (OKU) serta keluarga masing-masing dari seluruh negara telah menggagahi cuaca panas terik untuk berkumpul di Taman Tasik Titiwangsa di sini bagi menyertai satu majlis sambutan yang penuh dengan aktiviti riang ria.

Majlis tersebut ialah Hari Keluarga Kelab Integrasi Orang Kurang Upaya (KIOKU) yang menyaksikan penyertaan sukarelawan dari kalangan kakitangan ExxonMobil di Malaysia.

"Di ExxonMobil, khidmat komuniti adalah satu cara kehidupan", kata Chong Chee Seong, Pengerusi Program Projek Komuniti ExxonMobil 2009.

Katanya, kakitangan ExxonMobil yang menyertai pelbagai projek komuniti yang dijalankan oleh konglomerat antarabangsa tersebut telah mempamerkan semangat, tekad serta kesanggupan dalam memberi masa, idea serta sumber bagi menjayakan pembabitan syarikat tersebut dalam pelbagai projek khidmat masyarakat.

"Kakitangan ExxonMobil merupakan nadi di sebalik kejayaan program sukarela kakitangan kami", kata Chong kepada Bernama di tasik rekreasi tersebut lokasi bagi sambutan Hari Keluarga kali ini.

PROJEK KOMUNITI

Menurut Chong, program sukarela kakitangan ExxonMobil ialah projek-projek komuniti tahunan yang bermula pada tahun 1994.

"Dalam program ini, kakitangan ExxonMobil berinteraksi secara terus dengan warga komuniti dalam projek kemasyarakatan seperti membaikki sekolah serta kemudahan awam, membuka pusat tuisyen bagi kanak-kanak di luar bandar, menemani warga emas selain daripada menganjurkan kem alam sekitar".

Kata beliau, projek-projek tersebut membawa kebaikan kepada komuniti melalui bantuan yang diberi manakala kakitangan ExxonMobil yang terlibat dapat meraih pengalaman serta kepuasan yang penuh bermakna.

Kata Chong, dengan beroperasi hampir di 200 negara seluruh dunia, exxonMobil mempunyai tradisi yang panjang dalam penglibatan bersama komuniti.

"Kami percaya dalam membuat sumbangan positif kepada komuniti di mana kami bekerja dan tinggal. Di Malaysia ExxonMobil memyumbang RM2 juta setahun bagi menjalankan program komuniti di mana syarikat mempunyai operasi di Terengganu, Negeri Sembilan dan Lembah Klang.

Hari Keluarga ExxonMobil-KIOKU, sebuah acara tahunan, diadakan pada 6 Dis lepas sempena Hari Antarabangsa Orang Kurang Upaya pada 3 Dis.

KERJASAMA DENGAN KERAJAAN

ExxonMobil telah menjalankan kerjasama dengan agensi kerajaan serta badan bukan kerajaan (NGO) bagi mengenalpasti keperluan komuniti serta cara untuk menyelesai apa yang diperlukan.

"Kami bantu NGO dan persatuan menjalankan program mereka. Kami bertujuan mencapai impak serta kesan yang berterusan", kata beliau.

Antara rakan NGO ExxonMobil dalam program komuniti adalah Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS), Generasi Gemilang dan KIOKU.

MINGGU PENYAYANG

Dalam ucapan beliau pada majlis Hari Keluarga ExxonMobil-KIOKU, Pengarah Urusan Perniagaan (syarikat subsidiari ExxonMobil di Malaysia) Fatimah Merican berkata acara tersebut merupakan satu daripada program komuniti syarikat tersebut.

"Di ExxonMobil, kami mempunyai tradisi yang panjang dalam konsep sukarelawan kakitangan serta semangat khidmat komuniti. Program serta projek komuniti kami adalah efektif bagi kakitangan kami berhubung dengan masyarakat", kata beliau.

"Kami bangga kerana mempunyai peluang sebegini bagi merayakan hari istimewa ini bersama mereka dari golongan kurang upaya yang telah mempamerkan semangat serta ketabahan yang amat tinggi.

"Kami berharap acara pada hari ini dapat menimbulkan kesedaran yang lebih besar terhadap keperluan golongan ini", kata Fatimah yang juga penaung kepada Program Projek Komuniti ExxonMobil.

Pengerusi Syarikat-Syarikat Subsidiari ExxonMobil Malaysia, Hugh W. Thompson telah merasmikan Hari Keluarga tersebut.

SUKAN RIA

Pada majlis tersebut, kakitangan ExxonMobil telah menganjurkan acara-acara sukan ria selain daripada menguruskan gerai-gerai permainan dan menyediakan makanan bagi peserta.

Pada majlis tersebut, ExxonMobil menyumbang lima kerusi roda serta lebih daripada RM120,000 untuk penganjuran Hari Keluarga tersebut termasuk kos penyediaan makan dan minum serta aktiviti, hadiah dan pengangkutan orang kurang upaya dan keluarga mereka dari seluruh negara.

Sementara itu, Chong berkata Hari Keluarga KIOKU tersebut adalah acara terakhir projek komuniti ExxonMobil bagi tahun 2009.

Beliau berkata, hampir 1,000 sukarela terdiri daripada kakitangan ExxonMobil telah menjayakan 'Minggu Penyayang' dari 3 Okt hingga 11 Okt yang dijalankan di Lembah Klang, Port Dickson dan Kota Kinabalu.

Mereka menjalankan 14 aktiviti yang memberi fokus kepada golongan kurang bernasib baik atau miskin, yang tinggal di bandar serta aspek keselamatan dan alam sekitar di tiga lokasi tersebut, tambah beliau.

-- BERNAMA


Copyright 2014 BERNAMA. All rights reserved.
This material may not be published, broadcast, rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Disclaimer.
Best viewed in Internet Explorer 4.0 & above with 800 x 600 pixels