Bernama.com
Am 03 Disember, 2009 19:02 PM
 
Pelancongan Keagamaan Produk Pelancongan Terpenting Negara


KUALA LUMPUR, 3 Dis (Bernama) -- Dewan Rakyat pada Khamis diberitahu bahawa pelancongan keagamaan merupakan salah satu produk pelancongan yang terpenting buat negara.

Menteri Pelancongan Datuk Seri Dr Ng Yen Yen berkata pelancongan Islam ialah produk utama yang dipromosikan di negara ini, selain produk pelancongan keagamaan lain seperti Thaipusam, Tahun Baru Cina dan Hari Wesak.

"Pelancongan yang berkonsepkan Islam lebih menumpukan kepada pasaran pelancong dari negara Asia Barat dan juga negara China serta United Kingdom. Antara ciri penting untuk mempromosikan konsep ini (pelancongan Islam) adalah dengan mengutamakan makanan yang halal serta menyediakan perkhidmatan pemandu pelancong yang fasih berbahasa Arab.

"Selain itu, dalam pelancongan berkonsep Islam juga terdapat pakej pelancongan korban dan akikah yang lazimnya diadakan di Negeri Sembilan dan Johor dan kita juga mempunyai pakej untuk melihat keindahan majlis akad nikah di masjid," katanya ketika menggulung Rang Undang-Undang Perbekalan 2010 Peringkat Jawatankuasa bagi kementerian itu di sini.

Ng berkata bagi menambah nilai pakej pelancongan Islam, kementerian itu kini giat melatih pegawai khusus bagi mengendalikan para pelancong.

"Mereka diperlukan untuk mengendalikan pelancong-pelancong yang melawat masjid yang sudah tentu bukan sahaja dapat memberikan kegembiraan yang lebih kepada pelancong tetapi juga memberi pendapatan tambahan kepada penduduk setempat," katanya.

Ng berkata kementerian juga memberikan peruntukan RM100,000 kepada Majlis Tindakan Pelancongan pada tahun 2008 dan RM16,000 kepada Islamic Outreach pada 2009 untuk melatih pemandu pelancong masjid dan kini jumlah pemandu pelancong masjid adalah seramai 280 orang.

Dalam pada itu, beliau berkata kementerian serta Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia (JAKIM) pada tahun lepas telah mewujudkan satu jawatankuasa bersama bagi menggalakkan kemajuan pelancongan keagamaan.

Beliau berkata di bawah jawatankuasa yang dibentuk bersama JAKIM, terdapat sebuah jawatankuasa kecil yang diberi peranan untuk mengenalpasti potensi pembangunan pelancongan Islam ke atas mana-mana masjid yang bersedia untuk menerima pelancong serta mempunyai pemandu pelancong.

"Masjid-masjid yang bersiap sedia untuk menerima pelancong termasuk mempunyai pemandu pelancong akan disenaraikan dalam tempat-tempat menarik dalam pakej lawatan pelancongan Islam," katanya.

Ng berkata kementerian juga telah menubuhkan Islamic Tourism Centre (ITC) pada bulan Februari lepas bertujuan untuk menggalakkan pelancongan di kalangan negara-negara Islam serta untuk meningkatkan kerjasama serantau.

"Dengan wujudnya ITC ini, kementerian yakin ia akan menarik perhatian masyarakat dunia bahawa Malaysia merupakan satu destinasi pelancongan Islam yang berjaya dan harus dilawati," katanya.

Beliau berkata ITC telah diperuntukkan sebanyak RM6 juta bagi tempoh 2009-2010 untuk mengembangkan operasinya.

Persidangan dewan disambung Isnin depan.

-- BERNAMA
Copyright 2014 BERNAMA. All rights reserved.
This material may not be published, broadcast, rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Disclaimer.
Best viewed in Internet Explorer 4.0 & above with 800 x 600 pixels