Bernama.com
Ekonomi 03 Disember, 2009 16:52 PM
 
Permata Hijrah Jamin Produk Selamat Digunakan


KUALA TERENGGANU, 3 Dis (Bernama) -- Syarikat Permata Hijrah hari ini memberi jaminan bahawa produk kosmetik yang keluarannya, yang termasuk toner mata, selamat digunakan.

Pengasas syarikat tersebut Ali Mohd Yatim berkata semua produk yang dikeluarkan oleh syarikatnya tidak mengandungi bahan kimia sebaliknya bahan-bahannya lebih banyak berasaskan air zam zam dan ekstrak mutiara yang tidak memberi kesan sampingan dan berbahaya kepada pengguna.

"Sejak dua tahun dipasarkan secara komersil, kita telah berjaya menarik ramai pelanggan, setakat ini maklum balas yang diterima amat positif dan belum ada lagi yang mengadu keadaan mata mereka semakin teruk selepas menggunakan produk kita.

"Malah hasil promosi yang dijalankan di seluruh negara, kita juga berjaya menarik minat pelanggan negara luar seperti Tanzania dan Britain," katanya pada satu sidang media di sini ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kebimbangan pengguna ekoran tersiar laporan akhbar yang menyatakan larangan Kementerian Kesihatan terhadap beberapa produk keluaran syarikat itu yang dinotifikasi sebagai bahan kosmetik tetapi digunakan untuk tujuan perubatan dan rawatan.

Sementara itu penasihat syarikat berkenaan, Dr Yasmeen Mohammed berkata Kementerian Kesihatan mengklasifikasikan produk yang dikeluarkan syarikat itu sebagai kosmetik berikutan bahan kandungannya tidak mengandungi kimia.

Katanya kekecohan yang berlaku hanyalah melibatkan kesilapan teknikal dan tidak bersangkut paut dengan kandungan produk yang dikeluarkan dan beliau turut meminta Kementerian untuk memberikan garis panduan sewajarnya bagi membantu syarikat milik bumiputera itu untuk terus maju.

Antara produk yang dikeluarkan oleh syarikat itu termasuk toner mata, toner hidung dan yang terbaharu jus minuman.

Syarikat Permata Hijrah setakat ini mempunyai tiga cawangan iaitu di Shah Alam di Selangor, Pengkalan Chepa dan Wakaf Che Yeh di Kelantan dan sebuah kilang milik syarikat terbabit dijangka dibuka di Kelantan pada tahun depan.

--BERNAMA


Copyright 2014 BERNAMA. All rights reserved.
This material may not be published, broadcast, rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Disclaimer.
Best viewed in Internet Explorer 4.0 & above with 800 x 600 pixels