Bernama.com
Am 26 November, 2009 18:16 PM
 
Malaysia Berisiko Tinggi Menjadi Pasaran Utama Dadah ATS


Daripada D.Arul Rajoo

BANGKOK, 26 Nov (Bernama) -- Malaysia dikategorikan sebagai negara berisiko tinggi menjadi pasaran utama dadah rangsangan amphetamine (ATS) disebabkan penyeludupan termasuk yang diproses dalam negara dalam skala yang besar, demikian menurut laporan Pusat Serantau Asia Timur dan Pasifik Mengenai Dadah dan Jenayah Pejabat Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNODC).

Laporan itu menyebut dadah jenis methamphetamine yang dirampas di Malaysia meningkat manakala 12 makmal rahsia ditemui pada 2008 berbanding sembilan makmal yang ditemui pada tahun sebelumnya.

Dalam laporan "Bentuk dan Trend ATS dan Dadah Jenis Lain di Asia Timur, Asia Tenggara dan Asia Pasifik" yang dikeluarkan Khamis, UNODC turut tidak menolak kemungkinan Malaysia akan mengikut jejak negara jirannya, Indonesia, berdasarkan pemerhatian yang dibuat untuk tempoh tiga tahun yang lepas, di mana banyak rampasan dan operasi makmal rahsia dadah ATS ditemui, disusuli dengan peningkatan penggunaan jenis dadah itu.

"Malaysia mempunyai banyak operasi mengeluarkan ATS sejak 2004 dan banyak ATS yang dirampas sejak 2006. Ini amat membimbangkan seperti di Indonesia yang mempunyai trend yang sama dan sekarang menjadi pengguna ATS terbesar," kata Penyelaras Serantau (Asia Timur) UNODC bagi Program SMART Global, Deepika Naruka.

Menurut UNODC, Indonesia yang mendapat bekalan dadah jenis Ecstasy dari Eropah, sudah tidak lagi menjadi pembekal utama ke Australia dan New Zealand, dua negara di mana dadah jenis ini adalah yang kedua paling banyak digunakan.

UNODC berkata pihak penguatkuasa undang-undang di Malaysia telah merampas sejumlah methamphetamine dan Ecstasy yang diseludup setiap tahun dan menyita banyak kemudahan memproses dadah jenis ATS secara rahsia yang terbesar di dunia termasuk lima makmal rahsia dalam tempoh tiga bulan pertama 2009.

Berdasarkan data yang diberikan oleh Malaysia, masalah utama dadah di Malaysia ialah daripada jenis heroin dan morfin dengan dianggarkan penagih yang menggunakan dadah jenis itu antara 350,000 dan 500,000 orang manakala pengambilan dadah jenis ATS semakin meningkat.

Deepika berkata Thailand merupakan pasaran terbesar pil methamphetamine di rantau ini dengan permintaan yang semakin meningkat, manakala Malaysia dan Vietnam adalah potensi pasaran yang baru.

Wakil UNODC bagi Asia Timur dan Pasifik, Gary Lewis, berkata penggunaan dadah jenis sintetik ini semakin meningkat.

"Kita perlu memberi amaran kepada generasi muda kerana dadah itu kini bukan sahaja digunakan untuk tujuan riadah tetapi juga bagi sesetengah orang mereka gunakannya untuk berjaga. Ia ada hubung kait dengan perkembangan ekonomi di rantau ini tetapi bahayanya cukup tinggi," katanya.

Di Asia Timur dan Asia Tenggara, rampasan membabitkan pil-pil methamphetamine meningkat daripada 27 juta biji pada 2007 kepada 31 juta biji pada tahun lepas.



-- BERNAMA
Copyright 2014 BERNAMA. All rights reserved.
This material may not be published, broadcast, rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Disclaimer.
Best viewed in Internet Explorer 4.0 & above with 800 x 600 pixels