Bernama.com
Rencana 11 November, 2009 14:27 PM
 
Fesyen Musim Luruh Dan Sejuk Di Malaysia Yang Tidak Bermusim


Oleh Hazlinda Hamzah

KUALA LUMPUR, 11 Nov (Bernama) -- Walaupun tiada musim luruh atau sejuk di Malaysia, para pereka fesyen tempatan, yang baru dan yang berpengalaman, berkumpul di sini baru-baru ini untuk meraikan kedua-dua musim yang bermula pada setiap Oktober di hemisfera utara, bersama rekaan fesyen terbaru mereka.

Satu pertunjukan fesyen diadakan untuk menampilkan pakaian terbaru kedua-dua musim ini yang sinonim dengan warna-warna suram dan suhu yang lebih sejuk, di sebuah gedung membeli belah yang menjadi antara tarikan utama di Kuala Lumpur - Gardens Mall.

Acara `mengenai gaya' selama seminggu menyaksikan jenama-jenama tersohor seperti 2201 Fashion Avenue, Calibre, Lewre Couture dan Marks & Spencer, antara yang menawarkan pelbagai stail dan rekaan bagi pelanggan tempatan.

TREND MUSIM LURUH DAN SEJUK 2009

Gaun pendek, dengan aksesori seperti tali pinggang berkilau, dan juga baju berjalur yang dipadankan dengan kain satin lembut panjang, diperagakan di pentas.

Terrence Soo, seorang pereka fesyen menganggap pelancaran peragaan koleksi pakaian musim luruh dan sejuk di negara ini sebagai tepat pada masanya dan paling sesuai dilakukan kini.

"Saya positif yang trend musim sekarang ini sesuai bagi rakyat Malaysia. Dan responsnya sudah pasti positif," kata Terrence dengan senyuman lebar semasa rekaannya diperagakan oleh peragawati/peragawan di pentas.

Terrence menampilkan citarasa fesyennya melalui rekaan beliau di Terrenz Collection, iaitu butik miliknya.

Ketua Pegawai Eksekutif Mid Valley City Gardens, Kuala Lumpur, Antony Barragry, meminta para pengunjung gedung itu supaya memberikan ruang kepada fesyen mengikut musim kerana ia membuka peluang bagi rekaan dan idea-idea baru, bukan sahaja daripada segi warna mengikut musim tetapi mengikut trend fesyen semasa.

"Silalah pilih baju mengikut fesyen di sini di Gardens," tambah Antony, yang menekankan pada ciri paling penting kaum lelaki apabila mereka mahu membeli pakaian kerja mereka.

WARNA-WARNA MUSIM

Selain daripada warna lazim musim luruh dan sejuk, para pereka fesyen muda jelas berminat untuk menceriakan lagi musim itu, dengan rekaan daripada Batik merah jambu, renda hitam berlapikkan merah muda dan oren, serta gaun labuh dalam pelbagai rona seperti merah hati dan firus.

Gillian Hung, Presiden Persatuan Pereka Fesyen Rasmi Malaysia (MODA) mendapati minggu fesyen di Gardens sebagai memberangsangkan dengan para pereka fesyen mendapat peluang yang mereka nanti-nantikan untuk menimba ilmu dan pengalaman di dalam industri ini.

Gedung membeli-belah yang menganjurkan pertunjukan fesyen seperti ini memberi peluang kepada pereka fesyen muda untuk mengutarakan idea dan menumpukan pada usaha menghasilkan rekaan dan fesyen yang sesuai dengan cita rasa orang ramai.

"Ini ialah koleksi pakaian siap dipakai dan apa yang seseorang itu pakai akan bergantung pada pelbagai kategori yang diwujudkan oleh industri, dengan trend fesyen itu bergantung kepada pereka fesyen dan jenama yang dibawa oleh fesyen berkenaan. Untuk menyediakan fesyen bagi musim tertentu, masa yang diambil pada kebiasaannya tidak kurang daripada setahun. Apa yang anda lihat pada hari ini mungkin diusahakan sejak 12 bulan yang lepas," jelas Gillian, yang juga pengarah kreatif bagi Kenanga Wholesale City.

Menurut Gillian, setiap musim fesyen akan membantu pereka-pereka fesyen ini untuk menampilkan warna-warna yang sesuai serta yang berkaitan, perincian yang termasuk aksesori serta perhiasan yang diperlukan, fabrik, dan keanggunan yang ia mahu tampilkan pada pemakainya.

"Terdapat tiga kategori untuk dipertimbang sebelum idea pereka fesyen boleh diterima dengan 60 peratus daripada keutamaan ialah pada sejauh mana hasil rekaan itu boleh dijual, selain daripada tumpuan warna musim rekaan fesyen itu dan gaya mengikut trend semasa," demikian yang diperhatikan oleh Gillian.

Tidak kira musim apa yang mereka mahu promosikan, pelanggan yang akhirnya akan menentukan; mengenai apa yang mereka mahu pakai mengikut musim.

Gillian menekankan bahawa musim luruh dan sejuk bukan sekadar didominasi oleh warna-warna suram seperti hitam, putih dan kelabu tetapi boleh digandingkan dengan warna nutral dan yang lebih cerah.

TREND FESYEN GENERASI HARI INI

Seorang remaja, Joann Tee yang masih belajar, mendapati rekaan fesyen bermusim ini sesuai bagi penggunaan tempatan, walaupun Malaysia tidak mengalami apa-apa musim sepanjang tahun.

"Saya suka musim luruh dan sejuk ini. Cantik dan bergaya.

Sesuai untuk cuaca kita kerana fabrik yang mereka gunakan tidak terlalu tebal dan sangat anggun, khasnya untuk dipakai semasa majlis makan malam dan juga di majlis-majlis istimewa. Itulah yang saya suka sangat mengenai pakaian yang diperagakan di Pameran Fesyen Musim Luruh dan Sejuk ini," tambah Joann.

Seorang lagi remaja, Hazirah Abdul Rahman, berpendapat rekaan fesyen tidak mempunyai batas sempadan walaupun fokus diberikan mengikut musim.

Selagi mereka yang memakainya berasa selesa dan cantik, tidak timbul soal bermusim atau apa juapun. Bagaimanapun, kesopanan dan kesesuaiannya dengan majlis perlu diberi perhatian," kata Hazirah.

Nurul Huda Zakaria, yang baru menamatkan pengajian di sebuah institut pengajian tinggi tempatan baru-baru ini, berpendapat rekaan fesyen yang dipilihnya untuk dipakai bergantung kepada kesesuaian dan acara yang dihadirinya.

"Saya suka beli fesyen berjenama terutama apabila saya berpeluang peluang ke luar negara, lagi pun kosnya lebih murah... termasuk yang diperagakan semasa musim luruh. Fabrik yang digunakan masih sesuai bagi negara kita yang cuacanya panas," tambah Nurul Huda.

"Kelihatan anggun tetapi sopan pastinya satu kemestian bagi saya apabila membuat pilihan, tekstur fabrik juga merupakan faktor penting. Saya tidak mahu berpeluh dalam sesuatu yang terlalu tebal dalam keadaan cuaca di Malaysia," kata Nurul Huda, yang kini bekerja di sebuah jabatan kerajan di Shah Alam.

Semuanya atas nama fesyen - dan musim tidak menjadi hal. Jadi pakai sajalah apa yang anda suka walaupun tidak pernah melalui pengalaman musim luruh atau sejuk.

-- BERNAMA


Copyright 2014 BERNAMA. All rights reserved.
This material may not be published, broadcast, rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Disclaimer.
Best viewed in Internet Explorer 4.0 & above with 800 x 600 pixels