| Sukarelawan Muda KBS Digerakkan Bantu Mangsa Banjir |
|
PUTRAJAYA, 7 Nov (Bernama) -- Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan mengerakkan Sukarelawan Muda di bawah kementerian berkenaan bagi membantu mangsa banjir di beberapa negeri ketika ini.
Menterinya Datuk Ahmad Shabery Cheek berkata pada masa ini, terdapat kira-kira 5,000 belia termasuk di bawah Program Rakan Muda dan Belia serta pemimpin belia daripada pelbagai pertubuhan belia, yang berdaftar sebagai Sukarelawan Muda.
Katanya Ketua Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Datuk Fathul Radzi Bakri telah diarahkan bagi menyelaraskan program-program untuk membolehkan Sukarelawan Muda yang berada di negeri-negeri, digerakkan apabila berlakunya banjir di negeri masing-masing.
"Pada masa ini, kita akan tumpukan kepada negeri-negeri di Pantai Timur yang sedang dilanda banjir sejak semalam.
"KBS akan gerakkan Sukarelawan Muda ini di negeri-negeri lain jika banjir melanda negeri-negeri terbabit," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Sabtu.
Ahmad Shabery berkata Sukarelawan Muda berkenaan juga akan bekerjasama dengan pihak berkuasa dan badan-badan bukan kerajaan (NGO) berkaitan dalam kerja-kerja membantu mangsa banjir.
Beliau percaya bantuan yang disalurkan itu akan dapat meringankan beban dan kesusahan yang dihadapi oleh mangsa-mangsa banjir.
"Saya percaya Sukarelawan Muda ini juga akan dapat memberikan pengalaman mereka kepada golongan belia kita dalam kerja-kerja sukarela," katanya.
Beliau berkata KBS juga akan sentiasa bekerjsama dengan kementerian lain supaya kerja-kerja sukarela itu dapat diselaraskan.
-- BERNAMA
|
|
|