| Kerajaan Kecewa Pulau Pinang Enggan Kerjasama Dengan Agensi Pusat |
|
PULAU PINANG, 7 Nov (Bernama) -- Kerajaan Persekutuan kecewa dengan tindakan kerajaan Pulau Pinang yang enggan bekerjasama dengan agensi pusat di negeri itu terutamanya dalam urusan memberikan kelulusan terhadap sesuatu projek yang telah dirancang.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop berkata pihaknya menerima aduan daripada beberapa agensi mengenai sikap kerajaan negeri yang tidak bekerjasama terutamanya apabila ia melibatkan pembangunan tanah di negeri itu.
"Mesyuarat Majlis Tindakan Kerajaan Persekutuan bagi Pulau Pinang sering mendengar aduan daripada agensi persekutuan terutamanya berkaitan dengan proses mendapatkan kelulusan tanah dan ini amat tidak baik kerana ia boleh menjejaskan pembangunan yang dirancang," katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat berkenaan di sini.
Katanya antara agensi yang menghadapi masalah sedemikian ialah Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (Perda) yang mengadu permohonannya untuk menukar syarat guna tanah milik agensi itu tidak mendapat sebarang maklum balas daripada kerajaan negeri walaupun ia sudah lama dikemukakan.
"Perda telah membuat permohonan untuk memajukan beberapa bidang tanah tetapi tidak mendapat maklumbalas dari kerajaan negeri dan perkara ini dikatakan menjadi halangan kepada pembangunan yang dirancang untuk manfaat rakyat di kawasan luar bandar," katanya.
Nor Mohamed berkata seharusnya kerajaan negeri memberikan layanan yang sama dan adil kepada semua agensi tanpa mengira sama ada ia agensi pusat, negeri mahupun swasta.
Katanya kelewatan memberikan kelulusan akan menimbulkan pelbagai kesan antaranya merencatkan pembangunan yang dirancang untuk golongan sasar dan kos projek meningkat.
Menurutnya beliau sendiri telah berjumpa dengan Ketua Menteri Lim Guan Eng berhubung perkara ini dan menyerahkan salinan dokumen berkaitan tetapi masih tiada perkembangan sehingga kini.
Sehubungan itu beliau berharap kerajaan Pulau Pinang dapat memberikan pertimbangan segera terhadap permohonan agensi terbabit termasuk Perda.
"Mereka (kerajaan negeri) kena cepat buat keputusan dan tak bolehlah buat seperti (tidak layan permohonan) hanya kerana ia adalah agensi pusat. Saya sedih dan kecewa dengan keadaan ini dan nampak mereka tidak adil.
"Kalau kerajaan negeri tidak mahu bekerjasama dengan kerajaan persekutuan, mungkin dalam hal-hal lain kerajaan persekutuan pula tidak mahu bekerjasama dengan kerajaan negeri dan ini akan merugikan kedua-dua pihak," katanya.
Pada perkembangan lain, Nor Mohamed berkata peranan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri telah diberi nafas baru untuk memastikan semua perancangan projek pembangunan berjalan mengikut jadual.
"Suatu masa dahulu, ICU hanya bertindak sebagai penyelesai masalah bagi mana-mana projek yang tidak dapat dilaksanakan mengikut perancangan tetapi kemudiannya peranan itu dikurangkan kepada pemantau kerana banyak agensi lain terlibat.
"Bagaimanapun, baru-baru ini Perdana Menteri mengumumkan ICU perlu memainkan peranan lamanya semula termasuk membuat keputusan segera bagi projek-projek yang bermasalah. Kita (ICU) perlu selesaikan masalah, buat keputusan dan pastikan projek berjalan," katanya.
Beliau juga berkata, kerajaan persekutuan akan menyalurkan peruntukan yang mencukupi untuk pembinaan terminal pengangkutan bersepadu Penang Sentral di Butterworth menerusi Rancangan Malaysia Kesepuluh.
Baru-baru ini, Pengarah Eksekutif Malaysian Resources Corporation Bhd (MRCB), Datuk Ahmad Zaki Zahid dilaporkan berkata syarikat itu sedang menunggu peruntukan kerajaan persekutuan untuk memulakan pembinaan terminal pengangkutan di Penang Sentral itu.
Menurut beliau, pembinaan terminal itu dibiayai kerajaan persekutuan kerana ia melibatkan utiliti awam manakala syarikat berkenaan dan beberapa pelabur lain akan membangunkan kawasan komersil dalam projek itu.
-- BERNAMA
|
|
|